KUALA LUMPUR 23 Ogos - Censof Holdings Bhd. menerima surat hasrat (LOI) daripada Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) berhubung cadangan pembangunan Sistem Pengurusan Unit Amanah bernilai RM5.97 juta.
Ia menerima surat tersebut menerusi anak syarikat milik penuhnya, Century Software (M) Sdn. Bhd. (CSM), menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Kedua-dua pihak akan melaksanakan kontrak yang dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh LOI (19 Ogos 2022).
"LOI ini dijangka tidak memberi kesan kepada saham terbitan dan modal berbayar syarikat serta pemegangan utama kumpulan.
"Selain itu, ia juga tidak memberi kesan material kepada aset sesaham, penggearan dan pendapatan sesaham kumpulan bgai tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023," katanya.
PHB ialah syarikat pemegangan pelaburan hartanah, anak syarikat operasi milik penuh Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.
Ia ditubuhkan pada 8 Mei 2006 dengan sasaran untuk meningkatkan pemilikan bumiputera dalam aset hartanah komersial di Malaysia menerusi Amanah Hartanah Bumiputera, unit dana amanah patuh syariah.
Perniagaan teras PHB adalah untuk memperoleh dan membangunkan hartanah secara strategik di lokasi utama dan berkongsi manfaat pemilikan daripadanya melalui terbitan unit amanah kepada masyarakat bumiputera melalui Amanah Hartanah Bumiputera. - DagangNews.com