Centexs Commercial sasar 280 produk usahawan Sarawak ditempatkan di Shopee | DagangNews Skip to main content

Centexs Commercial sasar 280 produk usahawan Sarawak ditempatkan di Shopee

Pengurus Besar CENTEXS Commercial Shahren Yusri

 


KUCHING 18 Sept - CENTEXS Commercial Sdn Bhd menyasarkan untuk menempatkan kira-kira 280 produk usahawan Sarawak di platform e-dagang Shopee, bagi meluaskan lagi capaian pasaran mereka. 

 

Pengurus Besar CENTEXS Commercial Shahren Yusri berkata, kerjasama itu akan membantu menggalakkan keupayaan usahawan tempatan untuk memasarkan
produk mereka di Malaysia Barat.

 

Beliau berkata, platform Shopee serta bantuan dan inisiatif daripada SDEC telah memberikan nafas baharu kepada usahawan Sarawak.

 

“CENTEXS Commercial akan turut membantu mereka menempatkan kira-kira 280 produk di platform Shopee,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

 

Shahren berkata, syarikat itu menyasarkan kira-kira 1,000 usahawan tempatan untuk menyertai CENTEXS Commercial pada tahun ini.

 

“Usahawan-usahawan ini akan diberikan banyak manfaat seperti bantuan daripada kami dari segi pemasaran dan promosi serta kerjasama rapat dengan Institut
Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bagi mengekalkan makanan dan keselamatan, termasuk penjenamaan dan pelabelan,” katanya.

 

Selain itu, beliau berkata CENTEXS Commercial berhasrat meneruskan kerjasama ini dengan menyediakan latihan dan ilmu kepada usahawan tempatan,
terutamanya dengan Shopee dan SDEC.

 

“Melalui usaha ini, kami berharap ia akan menggalakkan lebih ramai rakyat Sarawak untuk menyokong usahawan tempatan dan produk warisan Sarawak,” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan CENTEXS Commercial menyertai Sarawak Digital Mall, kempen kerjasama antara Sarawak Digital Economy Corporation Bhd (SDEC), Unit Perancang Ekonomi Negeri Sarawak dan Shopee Malaysia.

 

CENTEXS Commercial yang dimiliki Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak berkata, sebagai galakan jualan, kempen itu akan menawarkan baucar Shopee kepada 220 usahawan Sarawak untuk menjual produk seperti makanan, kesenian, kraftangan dan pakaian di platform e-dagang Shopee.

 

Shahren berkata, usahawan yang berminat turut serta di dalam program tersebut boleh menghubungi 013-8137608 untuk keterangan lanjut atau hubungi Nur Syahidatul Fatehah Noorul Ismail Aina Ramli Heritage Central Gallery atau Songket & Keringkam Gallery

 

Sementara itu, Ketua Inovasi dan Keusahawanan SDEC Hazwan Razak berkata peranan e-dagang telah berkembang disebabkan COVID-19.

 

“Kami gembira untuk meneruskan sokongan kepada usahawan Sarawak menerusi sebarang kaedah yang wajar dalam perjalanan transformasi digital mereka.

 

“Melalui penyertaan CENTEXS Commercial dalam Sarawak Digital Mall, kita akan berupaya memanfaatkan pendigitalan produk warisan Sarawak dan menyediakan peluang kepada produk keluaran Sarawak untuk dipromosi dan dijual di pasaran lebih besar,” katanya.

 

Pengurus Kanan (Pemasaran) Shopee, Kenneth Soh berkata, Sarawak Digital Mall telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 peniaga dari negeri itu sejak dilancarkan pada Mei 2021, dan jumlah itu terus meningkat dari hari ke hari.

 

“Kempen ini merupakan satu daripada pelbagai perkara yang boleh dimanfaatkan penjual dan digunakan sebagai batu loncatan untuk menjangkau pelanggan dari dalam dan luar Sarawak dan menonjolkan keunikan produk dan tawaran dari negeri ini,” tambahnya. - DagangNews.com