KUALA LUMPUR 9 Jun – Central Global Berhad (CGB) menerusi subsidiari pembinaannya, Proventus Bina Sdn. Bhd. (PBSB) memeterai memorandum persefahaman bagi meneroka cadangan usaha sama dengan Multi Scopes Sdn. Bhd. (MSSB) bagi projek pembinaan loji rawatan kumbahan bernilai RM250 juta.
Menerusi cadangan kerjasama itu, yang mana PBSB memiliki 70% kepentingan manakala MSSB pula 30%, meliputi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, penugasan, operasi dan penyerahan loji kumbahan Kwasa Land Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di Petaling Jaya, Selangor.
Ketua Pegawai Perniagaan CGB dan Pengarah PBSB, Anson Lim berkata, bagi projek ini, MSSB akan menguruskan aspek teknikal projek, sesuai dengan kepakaran teknikal mereka di dalam loji rawatan kumbahan manakala PBSB akan mengendalikan infrastruktur projek.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif CGB, Datuk Faisal Zelman berkata, cadangan usaha sama yang sedang terokai ini adalah satu lagi langkah syarikat bagi meluaskan segmen pembinaan.
"Kami percaya projek loji rawatan kumbahan bukan sahaja membolehkan kami meluaskan portfolio projek pembinaan dan buku tempahan tetapi juga memberikan kami perolehan konsisten untuk tempoh lima tahun di Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kumpulan akan terus mencari peluang-peluang untuk pertumbuhan di kedua-dua perniagaan perkilangan dan pembinaan.
Sejak awal tahun ini, CGB sudah meraih projek bernilai RM100.5 juta untuk menambah baik sistem pembekalan air di Lahad Datu, Sabah dan cadangan penempatan persendirian sebanyak 18 juta saham baharu telah diluluskan oleh Bursa Malaysia Securities Berhad.
"Dana yang diraih daripada penempatan persendirian itu akan diguna bagi meningkatkan kapasiti sayap perkilangan dan juga membiayai projek hartanah di Pulau Pinang.”
Setakat 31 Mac 2021, sayap pembinaan kumpulan mempunyai buku tempahan bernilai RM130 juta merangkumi projek Lahad Datu dan projek pembinaan kondominium Montage di Bayan Lepas, Pulau Pinang. - DagangNews.com