KUALA LUMPUR 10 Jan - Anak syarikat milik penuh Green Packet Bhd, Packet Interactive Sdn Bhd (Packet Interactive), memperoleh lesen pemberian pinjaman digital daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), membolehkan syarikat memperluas perkhidmatan kewangan kepada pelanggan.
Syarikat teknologi global itu berkata, tempoh sah lesen tersebut adalah dari 15 Ogos 2024 hingga 14 Ogos 2026.
"Lesen pemberian pinjaman digital ini membolehkan Packet Interactive mengembangkan lagi rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.
"Memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan pembiayaan yang fleksibel dalam ekonomi digital, Packet Interactive berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pinjaman yang inovatif, yang disesuaikan untuk perusahaan kecil dan sederhana," katanya dalam pemfailan di Bursa Malaysia.
Packet Interactive berkata, selain meningkatkan inklusi kewangan, syarikat juga memberi tumpuan kepada sumbangan pertumbuhan ekonomi dan kelestarian di Malaysia.
"Sambil memastikan akses yang mudah kepada dana untuk perniagaan, Packet Interactive juga berharap dapat menyokong keusahawanan dan membantu mencipta peluang pekerjaan," ujarnya. - DagangNews.com