KUALA LUMPUR 28 Sept - Central Global Bhd. menerusi anak syarikatnya, RYRT International Sdn. Bhd. memperoleh kerja pembinaan jalan di Sandakan, Sabah bernilai RM183.29 juta.
Anak syarikat pegangan 70% itu menerima surat anugerah daripada kontraktor utama pihak ketiga, Pembinaan Urusmesra Sdn. Bhd.
Ia membabitkan kerja-kerja subkontrak termasuk bekalan loji, jentera, tenaga buruh dan bahan binaan bagi membina dan menyiapkan projek jalan Semawang ke Tanjung Kuala Gum-Gum.
Projek itu yang mengambil masa selama tiga tahun sepatutnya bermula pada 14 Oktober 2022 dan dijangka siap menjelang 13 Oktober 2025.
Pengarah Urusan Kumpulan Central Global, Chew Hian Tat dalam kenyataan hari ini berkata, perolehan kontrak itu adalah bukti kejayaan strategi perniagaan baharu kumpulan untuk memberi lebih tumpuan kepada segmen pembinaan.
"Pengambilalihan RYRT International pada awal tahun ini adalah pemangkin yang sangat diperlukan kumpulan.
"Ini membolehkan kami mengukuhkan kedudukan di Sabah di samping mengembangkan segmen perniagaan pembinaan kami terutamanya dalam subsektor infrastruktur," katanya.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 2025. - DagangNews.com