Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Sept. – Hanya 22% ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat di Asia Pasifik yakin prospek ekonomi global akan berkembang dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Bagaimanapun, 63% daripadanya menyatakan keyakinan bahawa perniagaan mereka mampu bertahan bagi tempoh yang sama.
Berdasarkan kajian 2020 KPMG Global CEO Outlook yang dijalankan pada Julai hingga Ogos 2020, terdapat tiga kebimbangan utama yang diberikan perhatian oleh CEO dan senarai itu didapati berubah berbanding kajian sama dilakukan pada Januari lalu.
Selepas penularan COVID-19, mereka meletakkan transformasi digital, bakat dan faktor persekitaran, sosial dan pentadbiran (ESG) sebagai agenda utama.
Perspektif mereka berubah dengan ketara didorong oleh langkah kerajaan dan perniagaan yang terus mengkaji impak jangka masa panjang akibat COVID-19.
Rakan Pengurusan KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris berkata, majoriti CEO di Asia pasifik mengambil langkah kritikal untuk menyokong ketahanan syarikat bagi jangka masa sederhana.
“Ini terbukti apabila kebanyakan mereka mengekalkan perniagaan seperti biasa walaupun terdapat sekatan pergerakan.
“Dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020, mereka terpaksa mengkaji semula strategi operasi dan ia dapat dilakukan dengan melaksanakan langkah jangka masa pendek dan bersedia bagi pertumbuhan jangka panjang serta sederhana,” kata Johan dalam satu kenyataan hari ini.
Salah satu langkah yang dilakukan mereka bagi pertumbuhan jangka masa panjang adalah dengan peruntukan dana bagi transformasi digital di mana 46% daripada responden giat mempercepat operasi digital sekali gus meletakkan syarikat lebih beberapa tahun ke hadapan daripada jangkaan.
“Jelas sekali terdapat perubahan momentum dalam pemikiran mereka yang lebih yakin dan sanggup melabur dalam teknologi untuk menjadikan syarikat lebih kukuh. Kami jangka pembangunan digital akan meningkat dan berterusan walaupun pandemik ini reda,” tambah beliau.
Dalam pada itu, CEO syarikat juga didapati mengenal pasti tenaga kerja atau bakat sebagai ancaman utama. Ini melibatkan kesihatan, kesejahteraan dan pengambilan atau pengekalan staf.
Sebanyak 72% daripadanya berpendapata bekerja di rumah atau jarak jauh mendorong mereka untuk melakukan perubahan signifikan terhadap dasar syarikat, manakala 69% lagi melihat langkah itu memperluas peluang untuk mengambil pekerja pada masa akan datang.
“Pemulihan daripada pandemik ini tidak bermaksud kembali normal, tetapi sebuah peluang untuk membentuk realiti pasca COVID-19.
“Memandangkan krisis ini berterusan mengubah imej kepimpinan yang bagus, tugas CEO lebih penting untuk memacu pertumbuhan syarikat pada masa akan datang,” jelas Johan. – DagangNews.com