CEO KWSP dilantik sebagai Menteri Kewangan II, Johari Ghani Menteri Perladangan dan Komoditi | DagangNews Skip to main content

CEO KWSP dilantik sebagai Menteri Kewangan II, Johari Ghani Menteri Perladangan dan Komoditi

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (kiri) dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai Menteri Kewangan II, manakala Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang disebut-sebut menjawat jawatan itu dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

 

Pelantikan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rombakan Kabinet yang diumumkan hari ini.

 

Terdahulu, Amir Hamzah mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara untuk membolehkannya dilantik sebagai menteri.

 

Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pagi tadi.

 

Amir Hamzah menyertai KWSP pada 2021 dan merupakan anak sulung bekas Pengerusi dan Presiden Petronas, Tun Azizan Zainul Abidin.

 

Sebelum menjadi CEO KWSP, beliau menerajui Tenaga Nasional Bhd (TNB) selama beberapa tahun sejak 2019.

 

Dengan pengalaman korporat yang menjangkau lebih 27 tahun, Amir Hamzah memulakan kerjayanya dengan Shell Malaysia sebelum berkhidmat sebagai CEO MISC Bhd.

 

Beliau juga merupakan sebahagian daripada Petronas Dagangan Bhd, Petronas Lubricants International, Icon Offshore Bhd dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan (pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi) dari Universiti Syracuse, New York. - DagangNews.com