CEO Maybank Islamic dinobat Tokoh Bank Islam Terbaik Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

CEO Maybank Islamic dinobat Tokoh Bank Islam Terbaik Asia Pasifik

Datuk Mohamed Rafique Merican

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos -  Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican menerima pengiktrafan Anugerah Tokoh Bank Islam Terbaik Asia Pasifik di Anugerah Aset Triple A 2020 atas sumbangan besar beliau kepada industri kewangan Islam di rantau ini.

Maybank Islamic juga merangkul empat anugerah lain iaitu Bank Islam Terbaik dalam kategori Asia Pasifik, Malaysia dan Singapura serta Bank Runcit Terbaik di Malaysia.

Mohamed Rafique berkata, kejayaan perniagaan perbankan Islam Maybank juga adalah dengan sokongan kuat dan teguh dari semua sektor dalam Kumpulan Maybank. 

“Anugerah Tokoh Bank Islam Terbaik dianugerahkan kepada seseorang individu namun kejayaan dan pengiktirafan ini adalah kejayaan keseluruhan warga kerja Maybank Islamic. Ini benar-benar mencerminkan kerja keras, usaha dan komitmen mereka.

"Mendapat pengiktirafan seperti ini pasti akan mendorong kami untuk lebih mengorak langkah ke hadapan untuk terus maju dalam industri serta sentiasa komited dalam memberikan solusi inovasi kepada pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengiktirafan tahunan berprestij itu memberi penghargaan kepada industri perbankan, kewangan, perbendaharaan dan pasaran modal oleh majalah kewangan Triple A yang berpusat di Hong Kong.

Menurut The Asset, proses pencalonan tahun ini jauh lebih agresif daripada tahun-tahun sebelumnya, dengan sebahagian proses penilaian juga melibatkan temuramah penerbitan daripada pelanggan dan peserta pasaran Maybank Islamic untuk mendapatkan testimoni mereka.

Sementara itu, Mohamed Rafique memegang jawatan tersebut sejak Julai 2016. Beliau juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbankan Islam Maybank yang menyaksikan peranannya dalam kepimpinan pertumbuhan francais dan pengembangan wilayah Perbankan Islam.

Beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Kelestarian Maybank di mana beliau memainkan peranan penting dalam membimbing Kumpulan Maybank ke arah transformasi kelestarian untuk masa depan yang lebih mampan.

Maybank Islamic membuka cawangan luar negara pertamanya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Julai 2019 dan menjadikannya bank Islam Malaysia pertama yang mempunyai kehadiran di luar negara. - DagangNews.com