Cetek literasi kewangan punca anak muda muflis | DagangNews Skip to main content

Cetek literasi kewangan punca anak muda muflis

Oleh Nik Nur Shafika Mustafa

SENARIO semasa melaporkan kebanyakan generasi muda gagal menguruskan kewangan dan mengheret mereka ke kancah kemuflisan.

 

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Insolvensi, sebanyak 264,127 jumlah kes kebankrapan sehingga April 2023. Dalam tempoh 2019 hingga April 2023, sebanyak 13,073 kes bankrap (38.40 peratus) yang dilaporkan.

 

Ini adalah satu angka yang agak membimbangkan negara!

 

Punca anak muda muflis

Kebanyakan kes muflis ini berpunca daripada kegagalan melunaskan bayaran pinjaman terutama pinjaman peribadi (16,755 kes), pinjaman perniagaan (5,806 kes), sewa beli kenderaan (3,782 kes), pinjaman perumahan (2,818) dan hutang kad kredit (2,162 kes).

 

Kenapa gagal uruskan hutang?

Kenapa generasi muda ini gagal uruskan hutang? Jawapannya ialah kurangnya pengetahuan tentang literasi kewangan dalam kalangan mereka. Literasi kewangan merupakan kemahiran penting yang membolehkan seseorang membuat keputusan kewangan yang bijak.

 

Namun, ramai generasi muda kurang memahami aspek-aspek penting dalam pengurusan kewangan mereka, seperti asas simpanan wang, menguruskan hutang, atau melabur dengan bijak.

 

Mereka juga mungkin tidak tahu bagaimana menyusun bajet yang seimbang atau melindungi diri mereka daripada risiko kewangan yang tidak dijangka.

 

Bercakap mengenai risiko kewangan, rata-rata generasi muda tidak memikirkan tentang perlindungan kewangan seperti insurans atau tabungan kecemasan.

 

Mereka mungkin tidak menyedari bahawa kejadian tak terduga seperti kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan, atau krisis kewangan boleh menggugat kestabilan kewangan mereka.


 

parafrasa

 


Gagal urus hutang heret kepada muflis

Generasi muda yang gagal uruskan hutang ini kana mengheret mereka kepada muflis. Isu  muflis dalam kalangan generasi muda ini turut dibahaskan di Dewan Negara baru-baru ini oleh Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff.

 

Beliau menyatakan individu yang diisytiharkan bankrap atau muflis akan merugikan negara jika golongan tersebut dihukum dalam tempoh yang lebih lama. Oleh yang demikian, kerajaan digesa agar satu dasar bagi mengelakkan rakyat muflis perlu diwujudkan.

 

Tingkatkan literasi kewangan

Untuk mengatasi masalah ini, antara langkah-langkah awal yang boleh diambil bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan generasi muda.

 

Pendidikan kewangan perlu diterapkan dengan lebih serius di dalam sistem pendidikan kita. Melalui mata pelajaran kewangan yang diajarkan di sekolah, generasi muda akan mempelajari asas-asas penting tentang pentingnya pengurusan kewangan di usia muda.

 

Program-program perancangan dan pengurusan kewangan boleh diadakan untuk memberi pendedahan yang lebih praktikal dan interaktif. Bukan sahaja di sekolah, tetapi juga melalui kerjasama dengan badan-badan kewangan tempatan.

 

Program-program ini boleh melibatkan sesi kelas, bengkel, atau acara komuniti agar dapat memperkukuhkan kemahiran kewangan generasi muda.

 

Manfaatkan perkembangan teknologi

Selain tingkatkan  pendidikan literasi kewangan dalam kalangan orang muda, teknologi juga boleh dimanfaatkan sebagai alat untuk menyampaikan maklumat kewangan kepada generasi muda secara santai tetapi menarik.


 

parafrasa

 


Aplikasi mudah alih, permainan kewangan digital, atau laman web interaktif boleh dicipta untuk membantu mereka memahami konsep-konsep penting dalam pengurusan kewangan dengan cara yang menyeronokkan.

 

Pastinya generasi muda akan lebih tertarik dengan penggunaan teknologi yang berkembang ini sebagai “tools” yang boleh digunakan dalam penyampaian ilmu literasi kewangan.

 

Perkukuhkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan

Kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam meningkatkan pendidikan literasi kewangan kepada generasi muda khususnya dan rakyat Malaysia khususnya.

 

Kerajaan menerusi agensi-agensi yang terlibat perlu aktif mempromosikan kepentingan pengurusan kewangan yang baik seperti memupuk tabiat menabung dan membina tabung kecemasan agar rakyat Malaysia lebih bersedia mengharungi situasi kecemasan yang tidak diduga dalam kehidupan mereka.

 

Kerajaan perlu mengukuhkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan FEN 2019 – 2023 dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia 2022 – 2026 jika betul-betul mahu menyelesaikan isu muflis dalam kalangan generasi muda.

 

Bina ketahanan kewangan

Tuntasnya,  kekurangan pendedahan literasi kewangan dalam kalangan generasi muda boleh menjadi salah satu punca peningkatan statistik muflis di negara kita.

 

Adalah penting untuk memberikan perhatian kepada pendidikan kewangan dan melibatkan mereka dalam program-program ilmu kewangan yang praktikal.

 

Literasi kewangan merupakan kemahiran yang boleh melengkapkan pengetahuan dan keyakinan seseorang individu yang boleh melengkapkan pengetahuan dan keyakinan seseorang individu membuat keputusan kewangan yang bijak pada setiap peringkat kehidupan.


 

parafrasa

 


Binalah ketahanan daya kewangan melalui pemahaman yang jelas tentang literasi kewangan. Membina ketahanan kewangan ini ibarat membina kota Rom.  Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari dua, begitulah juga membina ketahanan kewangan. - DagangNews.com

 

Nik Nur Shafika Mustafa adalah Pensyarah Kewangan Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Johor