CGS-CIMB : Cadangan pengambilalihan beri nilai tambah kepada Farm Fresh, Inside Scoop | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Cadangan pengambilalihan beri nilai tambah kepada Farm Fresh, Inside Scoop

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap Farm Fresh Berhad dengan harga sasaran (TP) yang sama pada RM1.65 sesaham berikutan cadangan pembelian 65% kepentingan dalam vendor The Inside Scoop Sdn Bhd (TISSB).

 

Firma penyelidikan itu optimis terhadap cadangan pengambilalihan itu memandangkan ia menambah pendapatan syarikat serta meningkatkan pelbagai sinergi perniagaan antara kedua-dua syarikat.

 

“Pengambilalihan itu akan dibiayai dengan terbitan 13.2 juta saham baharu bernilai RM20 juta pada RM1.52 sesaham iaitu diskaun 5% kepada harga saham pada 15 Februari, 0.7% daripada asas saham syarikat itu dan tunai RM63.9 juta,” kata firma itu di dalam nota hari ini.

 

Harga pengambilalihan itu, berdasarkan nilai perusahaan (PE) syarikat TISSB pada 2022, adalah tidak mendesak dengan diskaun 59.5% kepada seluruhan sektor pengguna Malaysia sebanyak 40.7x dan pada diskaun 57% kepada PE Farm Fresh bagi 2022.

 

Tambahnya, Farm Fresh juga tidak mempunyai isu membiayai bahagian tunai pengambilalihan ini dengan penggearan bersihnya sebanyak 0.1x pada akhir suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (2QFY3).

 

“Mengikut pengiraan kasar, pengambilalihan ini meningkatkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 3.7 hingga 4.6%.

 

"Ini dapat diandaikan dengan keuntungan bersih TISSB sebanyak RM7.8 juta sepanjang FY23 hingga FY25, menyumbang 0.7% pembesaran asas saham Farm Fresh daripada terbitan saham baharu dan kos pinjaman sebanyak 4.5% untuk membiayai bahagian tunai pengambilalihan ini,” katanya.

 

Menurut CGS-CIMB, perkembangan baharu Farm Fresh ini berpotensi meningkatkan TP firma itu sebanyak 3.9% atau RM1.71 sesaham, di mana tidak mengubah 28x PE bagi 2024.

 

Mengulas berkenaan sinergi perniagaan, firma itu melihat pengambilalihan tersebut berpotensi untuk memberikan sinergi yang kuat dan saling memberi manfaat memandangkan Farm Fresh akan memanfaatkan kepakaran dan jenama TISSB untuk menceburi perniagaan ais krim dan menjual susu segar kepada TISSB.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata ia masih belum memasukkan potensi pertambahan pendapatan ke dalam anggaran sementara menunggu pengambilalihan itu selesai.

 

Saranan ‘pegang’ dengan TP tidak berubah pada RM1.65 dengan 28x PE 2024, sejajar dengan purata harga perolehan pengeluar minuman berasaskan tenusu domestik.

 

“Kami berpendapat penilaian semasa sebahagian besarnya menilai prospek pertumbuhan Farm Fresh (EPS teras tiga tahun sebanyak 10.5%) dan permintaan yang semakin meningkat untuk barangan susu segar di rantau Asia,” katanya. –DagangNews.com