CGS-CIMB : Ismail Sabri mampu lepasi undi percaya di Parlimen | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Ismail Sabri mampu lepasi undi percaya di Parlimen

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat mampu melepasi usul undi percaya dalam sidang Parlimen, 6 September ini bagi mengukuhkan keadaan kerajaan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.

 

Menurut CGS-CIMB, ini susulan langkah beliau mengadakan perbincangan dengan pemimpin pembangkang pada minggu lalu. 

 

"Kami juga neutral terhadap pelantikan Kabinet baharu memandangkan kebanyakan menteri daripada pentadbiran terdahulu dikekalkan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Perdana Menteri baharu yang dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkannya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

 

Ismail Sabri minggu lalu mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

 

Pada Jumaat, beliau mengumumkan barisan Kabinet baharu yang menyaksikan 31 menteri dan 38 timbalan menteri dilantik manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri dibiarkan kosong. 

 

Seramai 69 ahli Parlimen akan mengangkat sumpah sebagai menteri dan timbalan menteri di Istana Negara pada pukul 2.30 petang hari ini.

 

Daripada 69 ahli Parlimen, 31 daripada mereka dilantik sebagai menteri manakala 38 lagi dilantik sebagai timbalan menteri, jumlah yang sama ketika kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Sebanyak 16 daripada 31 menteri mengekalkan jawatan di kementerian yang sama manakala dalam 38 timbalan menteri, 22 daripada mereka kembali memegang jawatan yang sama daripada Kabinet sebelum ini.

 

CGS-CIMB berkata, pasaran ini akan beralih tumpuan kepada pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,  dengan menjangkakan lebih banyak kelonggaran diberikan. 

 

"Ini memandangkan, 44.4% populasi sudah menerima 2 dos lengkap vaksin COVID-19 manakala 58.9% menerima sekurang-kurangnya 1 dos setakat 28 Ogos 2021," katanya. 

 

Turut menjadi tumpuan, menurut firma itu, ialah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada September ini diikuti Belanjawan 2022 pada Oktober, yang dilihat positif kepada sektor pembinaan.

 

Pada minggu lalu, katanya, indeks utama FBM KLCI melonjak 4.8% susulan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, didorong kenyakinan bahawa kemelut politik semakin reda dalam tempoh terdekat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang dan meneruskan dasar-dasar sedia ada.

 

"Untuk melihat momentum pasaran yang lebih kukuh, kami berpendapat pelabur mahu melihat sejauh makna pemulihan aktiviti ekonomi berjalan.

 

"Selain itu, ia juga mengambil kira kadar vaksinasi yang tinggi di negeri-negeri yang berdepan jangkitan COVID-19 tinggi dan lebih banyak negeri beralih kepada fasa 3 hingga 5 PPN. 

 

"Dalam hal ini, kami percaya pelabur akan tertumpu kepada saham-saham berkaitan pemulihan pasca pandemik sepanjang Ogos hingga September," jelasnya. - DagangNews.com