KUALA LUMPUR 8 Feb - CGS-CIMB Research menjangkakan prospek mencabar untuk Aemulus Holdings Berhad dalam beberapa suku akan datang didorong kelembapan permintaan yang berterusan dalam aplikasi elektronik pengguna.
Firma itu bagaimanapun berkata, kumpulan kekal berhati-hati terhadap peningkatan permintaan mudah alih dan tablet dalam separuh kedua 2023, didorong oleh pelonggaran sekatan perjalanan dan kuarantin di China.
Aplikasi mudah alih dan tablet membentuk 41% daripada jualan FY22 kumpulan itu.
"Walaupun pesanan tertunggak kumpulan kekal stabil, kami mendapat maklum balas daripada pihak pengurusan bahawa garis masa penghantaran projeknya telah ditangguhkan memandangkan persekitaran permintaan yang lebih lemah.
"Bagaimanapun, kumpulan itu tetap berharap segmen pemprosesan rangkaian akan membantu mengekalkan permintaan daripada penyelesaian perusahaan.
"Dalam pada itu, kumpulan itu sedang mencari untuk meningkatkan aktiviti pembangunan perniagaannya dalam segmen automotif, yang menawarkan keterlihatan tempahan yang lebih baik dan menumpukan kepada inisiatif penjimatan kos serta menambah baik inventorinya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM4.8 juta pada suku pertama berakhir 31 Disember 2022 (1QFY23), berbanding keuntungan bersih RM4.5 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Perolehannya merosot 47% kepada RM9.8 juta pada 1QFY23 daripada RM18.6 juta disebabkan perbelanjaan modal yang berhati-hati daripada pelanggan yang meramalkan kelembapan dalam industri semikonduktor dan penangguhan penghantaran bagi suku dalam tinjauan disebabkan oleh kelembapan dalam kadar pengembangan pelanggan.
Pengilang peralatan ujian automatik (ATE) berkata, perbelanjaan modal oleh pelanggannya telah berkurangan dengan ketara dan pasaran dijangka berehat untuk tempoh antara tiga hingga enam bulan.
Firma itu menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23-FY25 antara 19%-49% bagi mencerminkan kelemahan permintaan dan pengangguhan penghantaran barangan.
Firma itu menyemak turun penarafan daripada 'pegang' kepada 'kurang' selaras prospek pendapatan yang lemah dengan harga sasaran (TP) 38 sen sesaham. - DagangNews.com