CGS-CIMB jangka Karex terima peningkatan permintaan kondom di peringkat global | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka Karex terima peningkatan permintaan kondom di peringkat global

KUALA LUMPUR 22 Feb - Firma penyelidikan CGS-CIMB Research menjangkakan Karex Berhad akan menerima peningkatan permintaan kondom selepas perintah kawalan pergerakan sudah ditarik balik di kebanyakan negara dan kelonggaran untuk aktiviti sosial diberi kebenaran secara beransur-ansur di peringkat global.

 

Katanya, buat masa sekarang Karex sudah menerima peningkatan tempahan dan ia dijangka meningkat antara 20% ke 30% pada 2HFY22.

 

"Pada masa sama, Karex sentiasa menyemak semula harga mereka bagi menampung kos operasi yang lebih tinggi dari segi bahan mentah dan kos pengangkutan.

 

"Kami menjangkakan Karex akan menghasilkan keputusan yang lebih kukuh pada 2HFY22F berbanding keputusan buruk yang dicatatkan pada 1HFY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi pembukaan kilang sarung tangan pertamanya di Thailand, Karex merancang untuk memulakan percubaan dengan kilang itu memiliki kapasiti pengeluaran sebanyak 420 juta keping sarung tangan setahun pada 3QFY22F manakala sumbangan jualan daripada segmen itu bermula pada 4QFY22F.

 

"Bagaimanapun, kami percaya bahawa Karex hanya akan mendapat semula modal perniagaan mereka pada peringkat awal selepas mengambil kira persekitaran operasi yang lemah selain penurunan harga jualan purata (ASP) dan peningkatan kapasiti pengeluaran sarung tangan global," katanya.

 

Terdahulu, Karex mencatatkan kerugian bersih RM2.8 juta pada 2QFY22 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM2.8 juta pada 1QFY22.

 

Berdasarkan pendapatan terkumpul, Karex mencatatkan penurunan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 8.3% pada 1HFY22 dan kerugian bersih sebanyak RM1.4 juta pada 1HFY22.

 

"Kami mengunjurkan pendapatan sesaham (EPS) lebih rendah akibat jualan yang rendah serta peningkatan kos bahan mentah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' untuk saham-saham Karex dengan harga sasaran lebih rendah RM0.40 sesaham. Kami juga menjangkakan Karex akan mencatatkan kerugian pada FY22," katanya. - DagangNews.com