CGS-CIMB jangka Kossan catat pendapatan lebih tinggi pada 2H20 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka Kossan catat pendapatan lebih tinggi pada 2H20

Kossan Rubber Industries Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - CGS-CIMB Research menjangkakan syarikat pembuatan sarung tangan, Kossan Rubber Industries Bhd. (KRI) akan mencatatkan jumlah pendapatan yang lebih tinggi pada separuh kedua 2020.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dinilai berdasarkan kepada tiga faktor positif yang dilakukan syarikat berkenaan.

"Kami jangkakan Kossan akan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi disebabkan oleh kenaikan purata harga jualan (ASP) syarikat berkenaan.

"Peningkatan pendapatan mereka juga boleh ditingkatkan kerana Kossan turut meningkatkan kapasiti pengeluaran serta skala ekonomi yang lebih tinggi," jelas CGS-CIMB Research.

Pada separuh pertama 2020, Kossan menaikkan ASP pada kadar yang perlahan iaitu +1% berbanding tahun sebelumnya.

Kossan merancang untuk menaikkan ASP syarikatnya sebanyak 25% pada separuh ketiga tahun kewangan 2020 diikuti dengan peningkatan sebanyak 25% pada suku keempat tahun 2020.

Berdasarkan keadaan tersebut, CGS-CIMB Research turut menganggarkan ASP Kossan akan terus ketinggalan berbanding pesaing lain, tetapi mampu mencapai peningkatan yang dirancang.

Kossan juga meningkatkan kapasiti pengeluaran sarung tanggannya sebanyak 46.2% hingga 42.4 bilion pasang sarung tangan pada akhir 2022.

Selain pengoperasian kilang pertama di Bidor, Perak, Kossan turut membina dua lagi kilang baharu di Klang, Selangor.

Kedua-dua kilang baharu itu masing-masing dijangka mampu mengeluarkan kira-kira 1.4 hingga 3 bilion pasang sarung tangan.

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan 'tambah' pada harga sasaran sesaham iaitu RM17.00. - DagangNews.com