CGS-CIMB jangka Wellcall terima permintaan tinggi untuk hos getah | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka Wellcall terima permintaan tinggi untuk hos getah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan Wellcall Holdings Berhad akan menerima permintaan yang tinggi untuk hos getah dan ia disokong oleh tempahan yang kukuh sehingga penghujung Julai 2022.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan itu didorong oleh peningkatan aktiviti perniagaan global terutama dalam industri perlombongan, air serta minyak dan gas yang dijangkan menyumbang antara 50% ke 60% jumlah pendapatan kumpulan.

 

"Pada masa sama, syarikat itu juga sedang berusaha untuk mendapatkan pelanggan baharu terutama daripada sektor makanan dan minuman," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada 1QFY9/22, kumpulan itu merekodkan penurunan 16.5% penurunan pendapatan akibat penangguhan pesanan oleh pelanggannya kerana peningkatan kadar penghantaran.

 

Bahan mentah dijangka menyumbang kepada 55% hingga 65% kos keseluruhan pembuatan dan firma penyelidikan itu mendapat maklumat bahawa mereka memperoleh sumber secara tempatan dan sesetengah bahan khusus adalah daripada luar negara.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Wellcall menyasarkan untuk mengurangkan kesan kenaikan kos bahan mentah dengan membeli bahan lebih awal dan sedang menjalankan rundingan bersama pembekal namun mereka dijangka meningkatkan harga jualan tetapi terhad untuk sesetengah barangan.

 

"Bagaimanapun, Wellcall akan terus memberi fokus kepada meningkatkan kawalan kos yang lebih baik.

 

"Mereka juga sedang dalam usaha untuk menukar sumber tenaga di kilang mereka kepada tenaga yang boleh diperbaharui seperti panel solar dan gas LPG bagi mengurangkan kos utiliti selain memelihara alam sekitar," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' untuk saham Wellcall pada harga RM1.36 dengan kumpulan itu mempunyai asas yang baik serta permintaan yang kukuh untuk produk keluarannya dan firma itu percaya kumpulan itu berada di landasan positif. - DagangNews.com