Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Dis - CGS-CIMB menjangkakan potensi pemulihan yang kukuh bagi Bonia Corporation Bhd (Bonia) pada suku kedua tahun kewangan 2022 (TK22) dan seterusnya dipacu oleh pemulihan dalam trafik pusat membeli-belah selepas pemansuhan perintah sekatan pergerakan, yang akan membawa kepada peningkatan jumlah pengunjung ke cawangannya sekali gus memacu jualan yang lebih tinggi.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma penganalisis itu berkata, Bonia merekodkan kerugian suku pertamanya sebanyak RM3.7 juta pada suku pertama TK22 sejak penularan wabak COVID-19 akibat penutupan kedai, dan ia di bawah jangkaan yang dibuat CGS-CIMB.
"Walau bagaimanapun, kami percaya yang terburuk telah berakhir, kami menjangkakan kumpulan itu akan mencatatkan keputusan yang lebih kukuh bermula suku kedua TK22 dan seterusnya susulan penarikan sekatan pergerakan.
"Kami mengulangi saranan 'Tambah' ke atas saham Bonia dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM1.00," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Hasil suku pertama TK22 Bonia turun kepada RM42.8 juta (-45.1% tahun ke tahun), terutamanya disebabkan oleh penutupan operasi butik domestiknya di Malaysia pada separuh pertama suku itu disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan penuh (FMCO) untuk membendung peningkatan kes COVID-19.
Walaupun cawangan domestiknya dibenarkan beroperasi mulai 16 Ogos 2021 dan seterusnya, CGS-CIMB mendapati bahawa pemulihan pergerakan fizikal ke pusat membeli-belah dan kedai runcit kekal lemah pada separuh kedua suku tersebut.
"Oleh itu, margin EBITDA suku pertama TK22 merosot kepada 14.9% atau 9.8% tahun ke tahun pada skala ekonomi yang lebih rendah dan jualan terhad semasa FMCO.
"Hasilnya, kumpulan itu mencatatkan kerugian suku pertamanya sebanyak RM3.7 juta pada suku pertama TK22, yang berada di bawah jangkaan kami dan konsensus.
"Tiada dividen diumumkan pada suku tersebut, seperti yang dijangkakan.
"Pada pandangan kami, Bonia dapat melihat potensi pemulihan yang kukuh pada suku akan datang dan seterusnya." kata CGS-CIMB. -DagangNews.com