KUALA LUMPUR 8 Jun - Jumlah jualan dan pendapatan Malayan Cement Berhad dijangka pulih beransur-ansur dalam jangka sederhana disokong oleh penurunan harga arang batu sehingga projek infrastruktur mega dilaksanakan, menurut CGS-CIMB Research.
Firma penyelidikan itu berkata pemulihan pendapatan kumpulan setakat ini telah didorong oleh purata harga jualan (ASP) dan kos justeru pertumbuhan jumlah dijangka lebih kukuh dalam separuh kedua 2023 (2H23).
Jelasnya, ASP telah meningkat sebanyak 11% dalam tempoh enam bulan lalu kepada RM410 hingga 420 setiap tan metrik dan dengan mengandaikan rebat RM50 setiap tan metrik, ASP bersih adalah RM360 hingga 370 setiap tan metrik.
“Kami menaikkan [unjuran] pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23, FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 107%, 45% dan 36% untuk mengambil kira andaian campuran ASP setiap tan metrik lebih tinggi masing-masing sebanyak RM326, RM354 dan RM357, berbanding RM309, RM347, RM351 sebelumnya,” katanya dalam nota hari ini.
Oleh itu, firma itu berkata kumpulan itu akan beransur-ansur pulih dalam jumlah jualan pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 2% dan 5%, dan pendapatan dalam jangka sederhana dipacu penurunan harga arang batu, sehingga projek infrastruktur mega dilaksanakan.
“Penganalisis hartanah kami menjangkakan kesinambungan dalam kekuatan prajualan hartanah tahun ini dan yang lebih penting, pelaksanaan jualan tidak dibil akan menjadi lebih optimum dengan isu buruh diselesaikan,” katanya dalam nota hari ini.
Firma itu berpendapat bahawa aliran kontrak masa depan daripada YTL Construction kelihatan menjanjikan, di mana YTL ialah pembida terendah untuk CMC302 MRT 3 di bawah RM11 bilion.
Selain itu, usaha sama YTL dengan SIPP Rail untuk pakej turnkey sistem MRT 3 di mana ia akan bekerjasama dengan China Railway Construction Co Ltd. dalam projek Revival of High Speed Rail adalah bonus tambahan untuk YTL dan juga Malayan Cement.
Di samping itu, penjanaan aliran tunai bebas yang kukuh dijangka menghasilkan dividen sulung kumpulan itu dalam FY24, di mana firma itu menganggarkan dividen sesaham (DPS) sebanyak 7 hingga 8 sen pada FY24-25.
CGS-CIMB berkata ia percaya industri simen mungkin menyaksikan penyepaduan selanjutnya seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg baru-baru ini bahawa Cement Industries of Malaysia milik Khazanah mungkin akan dijual.
“Ini mungkin positif untuk Malayan Cement kerana pemain simen yang lebih kecil telah mengurangkan harga dengan lebih agresif, walaupun kami faham ini telah berkurangan.
CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM5.08 sesaham.
Setakat pukul 10:44 pagi ini, saham Malayan Cement naik 4 sen atau 1.4% kepada RM2.84 sesaham dengan modal pasaran RM3.7 bilion. -DagangNews.com