CGS-CIMB kekal saranan 'overweight' terhadap sektor bank dengan jangkaan kenaikan OPR | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekal saranan 'overweight' terhadap sektor bank dengan jangkaan kenaikan OPR

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - CGS-CIMB Research kekal dengan saranan 'overweight' dengan pemulihan pendapatan pada 2022 dan 2023 yang disokong jangkaan pengembangan bersih daripada kenaikan kadar semalam (OPR).

 

Selain itu pemulihan juga disokong oleh penurunan peruntukan pemulihan pinjaman (LLP).

 

"Bagi sektor ini kami memilih Hong Leong Bank dan Public Bank kerana ia merupakan bank yang paling berdaya tahan terhadap risiko hutang yang timbul akibat COVID-19 serta RHB Bank kerana pendapatan mereka pada 2022F datang daripada penurunan dalam peruntukan pinjaman," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, industri perbankan mencatatkan peningkatan jumlah peruntukan dari bulan ke bulan (m-o-m) sebanyak RM730 juta pada Januari 2022 berbanding peningkatan RM8.6 juta pada Disember 2021.

 

Peningkatan itu didorong oleh peruntukan tambahan untuk pinjaman terjejas baharu atau sedia ada dan firma itu tidak bimbang dengan perkara itu kerana nisbah aliran itu boleh dikurangkan pada masa akan datang jika rosot nilai kasar pinjaman (GIL) tidak bertambah.

 

"Hakikatnya, GIL hanya meningkat sebanyak RM160.5 juta atau 0.6% pada Januari 2022 manakala nisbah ratio bertambah daripada 1.44% pada hujung Disember 2021 kepada 1.45% pada hujung Januari 2022.

 

"Kami menjangkakan nisbah GIL sebanyak 1.8% hingga 2.0% untuk bank Malaysia pada penghujung Disember FY2022F," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar pinjaman untuk industri itu mencatatkan peningkatan 4.5% pada penghujung Disember 2021 kepada 4.7% pada penghujung Januari 2022.

 

"Pinjaman perniagaan meningkat kepada 5.3% pada penhujung Januari 2022 manakala pinjaman untuk kenderaan meningkat kepada 1.7% untuk tempoh sama kesan daripada jualan yang tinggi dalam sektor automotif.

 

"Penggunaan kad kredit juga meningkat sebanyak 2.1% pada penghujung Januari 2022 berbanding penurunan 0.7% pada hujung Disember 2021 tiada lagi kawalan pergerakan

 

"Kami juga menjangkakan peningkatan jumlah pinjaman antara 4% ke 5% untuk bank Malaysia pada 2022F," katanya. - DagangNews.com