CGS-CIMB kekal saranan 'tambah' untuk MISC selepas berlaku peningkatan kadar pengangkutan kapal tangki | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekal saranan 'tambah' untuk MISC selepas berlaku peningkatan kadar pengangkutan kapal tangki

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' terhadap MISC Berhad dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM8.36 berbanding RM8.23 selepas melihat kadar pengangkutan kapal tangki meningkat dengan ketara dalam dua minggu berakhir 8 April 2022.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan berlakunya peningkatan sebanyak 10% untuk kapal tangki minyak terpakai untuk tahun 2022.

 

Katanya, kadar pengangkutan kapal tangki akan menyaksikan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengambil langkah meningkatkan hasil pengeluaran secara khusus.

 

Sekiranya, Amerika Syarikat (AS) dan Iran mendapat persetujuan pelepasan sekatan, ia membolehkan kadar eksport Iran meningkat sebanyak 1.4 juta tong sehari.

 

"Antara risiko lain yang bakal dihadapi termasuk permintaan yang rendah akibat sekatan pergerakan COVID-19 di Shanghai dan penurunan kadar eksport Rusia yang lebih tinggi berbanding jangkaan.

 

"Pelepasan rizab strategik akan menjadi pemangkin utama dan ia berpotensi lebih tinggi dari Arab Saudi dan UAE berbanding perjanjian AS-Iran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Badan Tenaga Antarabangsa (IEA) bersetuju untuk melepaskan 240 juta bbl simpanan minyak untuk tempoh enam bulan bermula Mei hingga Oktober.

 

Katanya, pelepasan minyak AS akan digunakan secara domestik selain eksport ke Eropah dan MISC akan berada dalam laluan itu kerana kebanyakan afaramax berpangkalan di Teluk AS dan sekurang-kurangnya 40% dagangan berlaku di kawasan itu.

 

Katanya, MISC dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan kadar pengangkutan untuk segmen kapal minyak mentah besar (VLCC) dan suezmax. - DagangNews.com