KUALA LUMPUR 8 Nov - CGS-CIMB Research menjangkakan pelabur terus kekal bertahan menjelang keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Firma itu mendapati indeks FBM KLCI susut 0.6% minggu ke minggu pada minggu lalu disebabkan jualan bersih pelabur asing berikutan kebimbangan terhadap kenaikan kadar faedah dan PRU15.
Jumlah purata dagangan harian KLCI meningkat 14.3% minggu ke minggu kepada 2.9 bilion manakala nilai purata dagangan harian meningkat 19.2% kepada RM2.2 bilion.
Minggu lalu, ia menyaksikan pelabur asing kembali menjual ekuiti tempatan selepas membeli ekuiti pada minggu sebelumnya.
"Pelabur asing menjual ekuiti dalam sektor perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan terutamanya Malayan Banking Bhd. (Maybank), Top Glove Corp. Bhd. dan Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG)," katanya dalam laporan strateginya hari ini.
Maybank ialah saham belian bersih terbesar untuk pelabur institusi dan runcit tempatan, dan jualan bersih terbesar untuk pelabur institusi asing.
Top Glove pula ialah saham belian bersih kedua terbesar untuk institusi tempatan dan jualan bersih kedua terbesar untuk pelabur institusi asing.
Selain itu, Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd ialah belian bersih terbesar untuk penama, tetapi jualan bersih terbesar untuk pelabur institusi tempatan.
Menurut CGS-CIMB, pelabur institusi tempatan meneruskan pembelian bersih bagi sektor teknologi untuk minggu ke-19 tetapi bertukar menjadi penjual bersih sektor pembinaan selepas pembelian bersih selama dua minggu berturut-turut.
Katanya, minggu lalu, pelabur institusi tempatan merupakan penjual bersih tunggal bagi sektor pengangkutan dan REIT.
"Sementara itu, pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka bagi sektor penjagaan kesihatan untuk minggu kelima berturut-turut.
"Mereka juga merupakan penjual bersih terbesar dan satu-satunya bagi sektor perkhidmatan kewangan," katanya.
Firma itu berkata, pegangan asing dalam ekuiti tempatan meningkat 0.5% minggu ke minggu kepada 20.6% setakat akhir September 2022 (berbanding 20.4% pada akhir September 2021).
Trend kemerosotan pegangan asing bermula pada Mei 2018, khususnya selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi majoriti mudah di Parlimen, menandakan perubahan pertama dalam kerajaan.
Sejak itu, paras pegangan saham asing telah jatuh 4.1% daripada puncaknya 24.2% pada Mac 2018 kepada 20.1% pada Ogos 2022 disebabkan ketidaktentuan politik.
Sehingga akhir September 2022, pegangan asing berada pada paras 20.6%, disebabkan prestasi saham milik asing yang lebih baik berbanding pasaran umum.
"Setakat 4 November 2022, pelabur asing telah membeli RM5.7 bilion ekuiti tempatan berbanding jualan bersih RM3.2 bilion pada 2021," katanya. - DagangNews.com