CGS-CIMB mulakan liputan terhadap Engtex dengan saranan 'tambah', TP 75 sen | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB mulakan liputan terhadap Engtex dengan saranan 'tambah', TP 75 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Sept - CGS-CIMB Research memulakan liputan terhadap Engtex Group Berhad dengan saranan 'tambah' pada harga sasaran (TP) 75 sen sesaham.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merupakan antara pemain utama dalam pasaran duopolistik dan kekuatan utama mereka merupakan rangkaian pengedaran domestiknya yang luas dan jumlah kapasiti keluaran yang besar sebanyak 480,000 tan setahun.

 

Ia merangkumi pelbagai produk dan kelengkapan keluli dengan tumpuan terasnya pada paip besi mulur berdiameter lebih kecil (DI) dan paip keluli lembut (MS) berdiameter lebih besar.

 

Katanya, produk paip mereka tidak hanya terhad kepada sektor air tetapi merangkumi saliran, perumahan dan industri infrastruktur.

 

Firma itu berkata, antara faktor yang mendorong permintan tinggi untuk paip keluaran Engtex termasuk kontrak daripada Perbadanan Asset Air Berhad (PAAB) sebagai pembekal eksklusif pelbagai produk paip serta rancangan modal perbelanjaan paip oleh operator negeri yang disusun semula.

 

"Selain itu ia juga disumbangkan oleh rangkaian pengedaran paip huluan baharu di Selangor melibatkan skim bekalan air di Sungai Rasau selain peruntukan RM1 bilion setahun bajet untuk perbelanjaan modal paip di Selangor.

 

"Rancangan penggantian paip di seluruh negara juga menjadi antara penyumbang kepada peningkatan permintaan selain Rancangan Malaysia Ke-12," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sehingga kini, kumpulan itu sudah berjaya mendapatkan tempahan paip bernilai RM151 juta daripada projek air Sungai Rasau menjadikan jumlah kontrak keseluruhan sebanyak RM285 juta dengan peningkatan daripada bidaan baharu bernilai RM623 juta pada akhir 2QFY22.

 

Firma itu mengujurkan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 4.9% dalam tempoh tiga tahun selain menjangkakan keuntungan yang lebih lemah bagi FY22 kesan peningkatan kos operasi.

 

"Kami menjangkakan dua bahagian teras kumpulan iaitu pemborong/pengedaran dan pembuatan untuk menerajui pemulihan dan mengimbangi gangguan daripada pembangunan hartanah dan segmen hotel," katanya. - DagangNews.com