CGS-CIMB mulakan liputan terhadap HPP pada harga sasaran 48 sen | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB mulakan liputan terhadap HPP pada harga sasaran 48 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Sept - CGS-CIMB Research memulakan liputan terhadap HPP Holdings Bhd. dengan saranan 'tambah' pada harga sasaran 48 sen sesaham. 

 

HPP merupakan syarikat percetakan pembungkusan di Malaysia yang mengkhusus dalam pengeluaran pembungkusan berasaskan kertas dengan cetakan pelbagai warna.

 

Firma itu menganggarkan HPP adalah satu-satunya syarikat percetakan pembungkusan yang tersenarai awam di Malaysia yang mendapat akreditasi dengan pensijilan G7 Facility Colourspace (kualiti dan proses percetakan terkemuka industri), yang merupakan kriteria utama bagi syarikat multinasional (MNC) dalam memilih pembekal percetakan pembungkusan.

 

"Kami percaya ini memberinya kuasa harga yang lebih besar dan kemudahan menembusi pasaran baharu serta membantu ia memperoleh pelanggan baharu berbanding pemain industri lain.

 

"Mengambil kira faktor ini ditambah dengan operasi yang lebih cekap (disebabkan oleh pengurangan sisa kertas dan penggunaan dakwat seperti yang diperlukan oleh pensijilan), HPP berjaya mencapai margin keuntungan bersih teras yang lebih tinggi iaitu 8% hingga 16% berbanding pemain industri lain (5%-10% ) sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Mei 2019 (FY19) hingga FY21," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

HPP juga menurut CGS-CIMB adalah proksi tidak langsung kepada pengguna sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang 63% daripada jualan FY22 memandangkan asas pelanggannya yang mantap (kebanyakannya adalah MNC). 

 

Ia percaya HPP akan meningkatkan kapasiti percetakannya sebanyak 20% dan menggandakan kapasiti pengeluaran kotak menjelang akhir FY23 untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan sedia ada.

 

Selain itu, ia juga meraih manfaat daripada usaha pemasaran yang untuk memperoleh pelanggan baharu menerusi aktiviti pameran dan perdagangan berikutan penarikan balik sekatan pergerakan terhadap COVID-19.

 

"Kami melihat HPP sebagai penerima manfaat industri pembungkusan kertas kerana kami percaya lebih banyak syarikat barangan pembungkusan pengguna mungkin mengalihkan strategi pembungkusan mereka ke arah berasaskan kertas.

 

"Ini memandangkan kadar kitar semula kertas yang tinggi sebanyak 68.2% (berbanding plastik: 8.7%) dan trend pembungkusan mampan yang semakin meningkat," katanya.

 

Firma itu menjangkakan HPP akan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 18.2% terutama didorong pemulihan jualan daripda pelanggannya yang mengalami masalah kekurangan bekalan cip dan buruh pada FY22 bagi pelanggan dalam sektor E&E. - DagangNews.com