CGS-CIMB naikkan harga sasaran saham Public Bank hampir RM5 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB naikkan harga sasaran saham Public Bank hampir RM5

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - CGS-CIMB Research meningkatkan harga sasaran (TP) Public Bank Berhad (Public Bank) daripada RM20.50 sehingga RM25.00.

 

Kenaikan itu dibuat selepas firma penyelidik berkenaan menaikkan premium 10% terhadap nilai model diskaun dividen (DDM) berdasarkan mudah tunai (liquidity) yang lebih tinggi selepas terbitan bonus.

 

Public Bank menjadi pilihan teratas CGS-CIMB bagi sektor berkenaan berdasarkan ketahanan bank tersebut berbanding pesaing lain daripada risiko kredit akibat COVID-19.

 

“Kami kekalkan penarafan ‘tambah’ terhadap Public Bank berdasarkan ramalan potensi pemangkin penilaian semula berhubung lonjakan keuntungan bersih kepada 12% pada FY21.

 

“Kami kekalkan ramalan perolehan sesaham (EPS) FY20 hingga FY22 tetapi mengubah jangkaan kami terhadap TP,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 


 

Kata CGS-CIMB, Public Bank yang dilihat paling bertahan dalam sektor berkenaan mampu menarik pelabur untuk beralih ke kumpulan syarikat itu berbanding saham-saham bank lain ketika terdapat kebimbangan terhadap peningkatan nisbah pinjaman terjejas kasar pada separuh kedua 2021 (2H21). 


 

Semalam, Public Bank mengumumkan cadangan terbitan bonus yang melibatkan terbitan empat saham baharu bagi sesaham sedia ada. 

 

Menerusinya, Public Bank berhasrat untuk menerbitkan sejumlah 15.5 bilion untuk menjadikan jumlah saham daripada 3.9 bilion kepada 19.4 bilion selepas terbitan itu.

 

CGS-CIMB positif akan langkah itu yang dapat meningkatkan mudah tunai dagangan saham Public Bank dan harga saham lebih rendah menjadi mampu milik buat pelabur runcit.

 

Dalam pada itu, berdasarkan analisis CGS-CIMB, peruntukan penimbal Public Bank juga lebih daripada cukup untuk menampung peruntukan penting, bahkan daripada kenaikan nisbah pinjaman terjejas kasar. 

 

“Ekoran jangkaan penurunan 17.9% dalam keuntungan bersih FY20 disebabkan penularan COVID-19, kami menjangkakan pertumbuhan keuntungan Public Bank akan melonjak 12% pada FY21. 


 

“Ini akan dipacu oleh 41.2% penurunan peruntukan kerugian pinjaman dan 11.5% pertumbuhan pendapatan faedah bersih,” ujar CGS-CIMB. - DagangNews.com