KUALA LUMPUR 7 Dis - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Genting Malaysia Bhd. dengan harga sasaran lebih rendah pada RM3.25 daripada RM3.30 sesaham sebelum ini berikutan cadangan kumpulan membeli kesemua saham dalam Empire Resorts.
Semalam, anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Genting ER II LLC (GER II) memeterai perjanjian pembelian saham dengan Kien Huat Realty III Ltd (KHR) untuk membeli keseluruhan 1,510 saham keutamaan boleh tukar (CPS) Siri F Empire Resorts Inc (Siri F) pada harga AS$100 juta (RM438.5 juta).
Empire ialah sebuah syarikat Delaware ditubuhkan pada 19 Mac 1993 yang mempunyai pelbagai anak syarikat yang terbabit dalam perhotelan dan perjudian.
Menerusi cadangan pembelian Siri F itu, ia akan melabur sehingga AS$624.4 juta dalam Empire.
GER II, sebuah syarikat yang diperbadankan di Delaware, kini merupakan pemegang saham Empire yang memiliki 400 saham keutamaan Siri G Empire dan 3,200 saham keutamaan Siri L Empire.
Menurut CGS-CIMB dalam nota kajiannya, dengan mengandaikan penukaran penuh keseluruhan Siri F, Siri G dan Siri L kepada saham biasa, pegangan saham Genting Malaysia dalam Empire Resorts akan menjadi kira-kira 76.3%, berbanding 66.6% sebelumnya.
"Kami melihat langkah ini sebagai negatif kepada Genting Malaysia kerana kami menjangkakan Empire Resorts akan terus mencatat kerugian dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Malah, ia juga akan meningkatkan anggaran hutang/pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bersih Genting Malaysia daripada 2.49 kali kepada 2.63 kali menjelang akhir tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23)," jelasnya.
Ini mendorong firma itu mengurangkan harga sasaran Genting Malaysia kepada RM3.25 sesaham selepas mengambil kira pengambilalihan Siri F dengan unjuran hasil bagi FY22 hingga FY24 di'potong' kira-kira 0.3 hingga 0.4% .
"Jika kumpulan membeli baki 23.7% pegangan KHR dari semasa ke semasa, ia mungkin perlu mengeluarkan sebanyak AS$244.3 juta (RM1.07 bilion), berdasarkan penilaian terkini saham Empire Resorts.
"Ia akan menurunkan lagi nilai saksama Genting Malaysia kepada RM3.08 sesaham (termasuk 15% diskaun syarikat induk)," jelasnya.
Setakat 11.57 pagi, harga saham Genting Malaysia susut 1 sen atau 0.38% kepada RM2.60 dengan 3.54 juta saham diniagakan. -DagangNews.com