KUALA LUMPUR 5 Jan - CGS-CIMB Research positif terhadap prospek Karex Berhad disokong oleh permintaan kukuh terhadap kondom di peringkat global selain persekitaran operasi yang bertambah baik.
Firma itu berkata, peningkatan permintaan itu adalah disebabkan pertambahan interaksi antara manusia selepas ketiadaan larangan pergerakan seperti dua tahun lalu yang membuatkan permintaan kondom di peringkat global menurun sebanyak 40%.
Selain itu, katanya, sejumlah pengeluar kondom di peringkat global telah menghentikan operasi mereka sejak dua tahun lalu akibat penurunan permintaan serta impak kawalan pergerakan menjadikan bekalan semakin kurang ketika ini.
"Kapasiti pengeluaran kumpulan itu sudah dikhususkan sehingga akhir Mac 2023 dan merupakan satu kejutan positif kepada kami.
"Harga purata jualan (ASP) kondom mencatatkan peningkatan sebanyak 10% dari tahun ke tahun, lebih tinggi berbanding pra pandemik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu menyasarkan pengeluaran komersial kondom sintetik baharunya menjelang 2HFY24.
Katanya, kumpulan itu telah memohon kelulusan FDA (sasaran untuk diterima menjelang akhir 1HFY24), sambil meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi produk baharu itu.
"Kami menjangkakan ia akan menambah kapasiti tahunan sebanyak 150 juta keping (5% daripada jumlah kapasiti berkesan) menjelang 1HFY24 bagi memenuhi pengeluaran produk ini.
"Kami mendapati kumpulan itu sedang berbincang dengan pemilik jenama global untuk menandatangani perjanjian bekalan untuk produk baharu ini," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) 96 sen sesaham. - DagangNews.com