KUALA LUMPUR 26 April - CGS-CIMB Research positif terhadap prospek masa hadapan SKP Resources Berhad selepas mengambil kira kekuatan aliran tempahan dan keberkesanan pengurusan dalam menangani gangguan rantaian bekalan serta risiko sosial.
Firma itu berkata, operasi syarikat itu juga tidak menghadapi gangguan bekalan daripada kekurangan bekalan.
Katanya, memandangkan SKP memberi perkhidmatan kepada satu pelanggan utama, ia mempunyai kelebihan untuk mengalihkan barisan pengeluarannya jika berlaku kekurangan komponen dan pada masa sama meningkatkan pengeluaran produk lain.
Firma itu berkata, SKP juga mengalami masalah kekurangan tenaga kerja sebanyak 10% dan jumlah itu adalah lebih kecil berbanding keadaan yang dihadapi industri-industri lain.
"Kami kekal positif terhadap prospek SKP.
"Kami juga percaya bahawa Malaysia akan membenarkan pengambilan pekerja asing tidak lama lagi, membolehkan SKP menggunakan kemudahan baharunya dengan berkesan (60% kapasiti tambahan) yang akan siap dalam 4QCY22F," katanya daam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, SKP juga sedang dalam rundingan peringkat akhir dengan dua bakal pelanggan baharu, kedua-duanya beroperasi di dalam sektor elektronik pengguna.
Katanya, kehadiran pelanggan baharu akan memberi kesan positif kepada SKP dan membantu mengurangkan risiko penumpuan terhadap pelanggan utama mereka.
"Kami mengekalkan saranan 'tambah' terhadap SKP pada harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.35," katanya. - DagangNews.com