CGS-CIMB ramal kerugian MSM akan terus meningkat pada FY22 akibat tekanan kos gula mentah | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB ramal kerugian MSM akan terus meningkat pada FY22 akibat tekanan kos gula mentah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan kerugian bersih teras MSM Malaysia Holdings Bhd. akan terus melebar sebanyak 141% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) ekoran tekanan kos gula mentah dan penapisan yang lebih tinggi. 

 

Selain itu, operasi kumpulan di Johor juga dijangka terus mencatat kerugian, justeru  mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras bagi FY22 hingga FY24, menurut firma itu dalam nota kajian hari ini. 

 

MSM mencatatkan kerugian bersih RM34.07 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding keuntungan bersih RM13.47 juta direkodkan sebelumnya disebabkan kos input yang tinggi kebanyakannya daripada gula mentah, pengangkutan, gas asli dan ringgit yang semakin lemah.

 

Pendapatan pada suku berkenaan berjumlah RM624.2 juta meningkat 12.7% daripada RM554.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan kenaikan harga jualan purata (ASP) keseluruhan.

 

Pada asas setengah tahun, ia mencatatkan kerugian bersih RM61.75 juta berbanding keuntungan bersih RM44.65 juta tahun sebelumnya.

 

Jumlah pendapatan bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2022 berjumlah RM1.22 bilion berbanding RM1.07 bilion setahun sebelumnya, tiada dividen diumumkan untuk suku berkenaan.

 

Susulan itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'kurang' terhadap MSM dengan harga sasaran disemak lebih rendah kepada 57.5 sen daripada 62.1 sen sebelum ini berikutan prospek pendapatan yang lebih lemah. 

 

Bagi asas suku ke suku, firma itu mendapati MSM merekodkan jumlah jualan yang lebih tinggi pasaran borong domestik pada suku kedua, walaupun diimbangi dnegan penurunan jualan suku ke suku dalam segmen perindustrian dan eksport.

 

"Walaupun kami menganggarkan bahawa kos penapisan secara amnya tidak berubah bagi suku ke suku pada suku kedua, kami menganggap bahawa kenaikan 9% suku ke suku dalam kerugian bersih teras daripada RM31 juta pada suku pertama berkemungkinan disebabkan nisbah jumlah jualan yang lebih tinggi dicapai untuk segmen borong domestik, di mana ASP lebih rendah sebanyak 2% berbanding perindustrian.

 

"MSM menyatakan bahawa margin segmen borong domestiknya kekal terjejas oleh warta kerajaan mengenai harga siling gula bertapis. 

 

"Oleh itu, kami menganggarkan kerugian bersih teras MSM akan kekal tidak berubah pada separuh kedua berbanding separuh pertama 2022 kerana premium eksport yang berpotensi lebih tinggi mungkin akan diimbangi oleh peningkatan kos gula mentah dan penapisan," jelasnya. 

 

Menurutnya, kos penapisan MSM bagi satu tan metrik melonjak 29% tahun ke tahun pada suku kedua dan separuh pertama masing-masing kepada RM475 dan RM480.

 

"Kami dapati ini disebabkan perbelanjaan pengeluaran input yang lebih tinggi terutamanya kos gas asli (40% daripada kos penapisan), yang telah meningkat 60% tahun ke tahun pada suku kedua dan kos gula mentah NY11 yang lebih tinggi," katanya.

 

Setakat 10.26 pagi ini, harga saham MSM susut 4 sen atau 4.49% kepada 85 sen dengan 433,400 saham diniagakan. - DagangNews.com