CGS-CIMB Reseach positif terhadap langkah potongan cukai menerusi Bajet 2023 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Reseach positif terhadap langkah potongan cukai menerusi Bajet 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - CGS-CIMB Research positif dengan langkah meningkatkan pengecualian duti setem kepada 75% daripada 50% untuk hartanah kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM1 juta menerusi Bajet 2023.

 

Firma itu berkata, langkah itu secara tidak langsung akan merangsang minat belian dalam kalangan pembeli rumah pertama untuk hartanah dalam julat harga tersebut.

 

Katanya, langkah menghentikan Cukai Makmur pada 2023 juga akan memberi kesan positif kepada bank dan ia secara tidak langsung akan mengurangkan kadar cukai selain meningkatkan kadar keuntungan pada tahun hadapan.

 

"Kami juga positif terhadap inisiatif kerajaan untuk mempromosikan industri Elektrik & Elektronik (E&E) Malaysia bagi meningkatkan rantaian nilai, dengan memudahkan pengembangan operasi syarikat multinasional (MNC) global selain mempromosikan industri reka bentuk cip litar bersepadu (IC), dan memanfaatkan bakat dilatih oleh MNC global.

 

"Bajet 2023 adalah positif dari segi mengekalkan momentum aliran kontrak pembinaan pada tahun hadapan tetapi kurang dari segi pelaksanaan kontrak berskala besar baharu melebihi jangkaan untuk MRT 3 – kontrak Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) tidak disebutkan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun banyak 'pemberian' seperti potongan cukai pendapatan dan pemberian tunai disediakan dalam Bajet 2023 namun ia tidak cukup signifikan untuk meningkatkan pendapatan korporat secara material.

 

Bagaimanapun, ia akan diimbangi oleh rancangan untuk melaksanakan subsidi bersasar pada 2023.

 

"Atas dasar itu, tiada sebarang perubahan dibuat untuk sasaran untuk FBM KLCI iaitu 1,556," katanya. - DagangNews.com