CGS-CIMB Research jangka cadangan kenaikan tarif penerbangan Mavcom ditangguhkan | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka cadangan kenaikan tarif penerbangan Mavcom ditangguhkan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - CGS-CIMB Research menjangkakan cadangan kenaikan tarif penerbangan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bermula 1 Januari 2024 ini akan ditangguhkan kerana mereka belum mengeluarkan cadangan terakhirnya bagi diwartakan di Parlimen.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Mavcom sebelum ini mengemukakan cadangan kenaikan tarif sebanyak 6.89% bermula tahun hadapan.

 

"Kami kekal positif terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan pemangkin penarafan semula termasuk trajektori menaik trafik antarabangsa.

 

"Sewaan komersial dan hasil juga akan pulih dengan mendadak, kerana MAHB menamatkan diskaun sewa mulai 1 Januari 2024 dan lebih banyak kedai lapangan terbang dibuka semula.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM7.23 sesaham" katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, CGS-CIMB berkata, kemungkinan kejatuhan MYAirline boleh mengakibatkan hapus kira hutang lapuk kira-kira 3% daripada pendapatan kumpulan sesaham tahun ini, dan meninggalkan MAHB tanpa 9% daripada tempat duduk domestik.

 

Katanya, MYAirline tidak membayar gaji kakitangannya dan pembekalnya tepat pada masanya akibat masalah kewangan.

 

MYAirline ialah syarikat penerbangan tambang rendah yang terbang keluar dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2).

 

Syarikat penerbangan itu 98% dimiliki oleh Datuk Goh Hwan Hua dan 2% oleh bekas ketua pegawai eksekutifnya Rayner Teo Kheng Hock, yang meletakkan jawatan minggu lalu.

 

CGS-CIMB berkata, kejatuhan MYAirline tidak akan terlalu memberi kesan kerana syarikat itu hanya memiliki 9% bahagian pasaran kapasiti tempat duduk domestik. - DagangNews.com