CGS-CIMB Research jangka Eco World International capai sasaran jualan RM2 bilion hartanah baharu untuk FY22F | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka Eco World International capai sasaran jualan RM2 bilion hartanah baharu untuk FY22F

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - CGS-CIMB Research menjangkakan Eco World International Berhad mampu mencapai sasaran jualan hartanah baharu sebanyak RM2 bilion bagi FY22F walaupun terpaksa mengorbankan margin keuntungan dalam usaha untuk mempercepatkan perolehan tunai menerusi tawaran insentif yang menarik.

 

Firma itu berkata, pada 1HFY22 penjualan hartanah baharu berada pada paras RM965 juta, 48% daripada jumlah sasaran FY22F iaitu RM2 bilion.

 

Katanya, sehingga 7MFY22, hartanah baharu kumpulan itu terjual sebanyak RM1.14 bilion dengan tempahan semasa sebanyak RM391 juta. 

 

"Daripada jualan RM1.14 bilion itu, RM1.02 bilion adalah daripada projek di London dan baki RM123 juta adalah dari Australia.

 

"Bagaimanapun tiada perkembangan terhadap projek bina dan sewa (BTR) kerana kumpulan itu sedang menilai semula projek mereka memandangkan kos pembinaan semakin meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Eco World International mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM67.35 pada suku kedua berakhir 30 April 2022 berbanding keuntungan bersih RM11.3 juta setahun lalu selepas pendapatan mereka menurun sebanyak 70%.

 

Kerugian yang dicatatkan itu adalah selars dengan kejatuhan pendapatan kumpulan sebanyak 69.26% kepada RM33.08 juta daripada RM107.56 juta disebabkan jumlah unit yang diserahkan kepada pelanggan lebih sedikit selain kerugian yang ditanggung dalam projek kerjasamanya.

 

Firma itu menjangkakan pendapatan kumpulan itu lebih lemah untuk FY22-24F akibat penyerahan projek yang rendah selain jumlah projek yang kurang dan pelancaran projek baharu yang hanya akan menyumbang pada FY25F.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang'  dengan sasaran harga (TP) lebih rendah RM0.38," katanya. - DagangNews.com