CGS-CIMB Research jangka harga minyak sawit mentah kekal lemah sepanjang tempoh pelarasan | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka harga minyak sawit mentah kekal lemah sepanjang tempoh pelarasan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Julai - CGS-CIMB menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal lemah sepanjang tempoh pelarasan dan akan didagangkan pada harga lebih rendah sehingga stok minyak sawit Indonesia jatuh ke paras 4 juta atau 5 juta tan.

 

Firma itu berkata, harga MSM di Malaysia mula mencatatkan penurunan sebanyak 30% kepada RM4,698 satu tan sejak Indonesia mengangkat semula perintah larangan eksport pada 23 Mei 2022.

 

Katanya, sebahagian besar atau 91% penurunan harga berlaku sejak 10 Jun 2022 selepas Indonesia memberi penjelasan mengenai proses eksport yang digantikan dengan obligasi pasaran domestik (DMO) yang memerlukan firma membekalkan sebahagian bekalan kepada pasaran domestik menerusi program kerajaan.

 

"Kami menjangkakan Indonesia perlu mempercepatkan eksport mereka dalam tempoh beberapa bulan akan datang kepada 3 juta ke 3.5 juta tan sebulan untuk menghabiskan bekalan mereka menjelang musim pengeluaran puncak.

 

"Kami berpendapat, Indonesia perlu menarik pembeli dengan menurunkan harga MSM dan ia menyebabkan harga domestik serta antarabangsa jatuh dengan ketara sejak beberapa minggu ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu juga menjangkakan, hasil pengeluaran MSM negara akan meningkat sebanyak 6.8% dari bulan ke bulan tetapi menurun 2.9% kepada 1.56 juta tan pada Jun 2022.

 

Katanya, peningkatan itu didorong oleh faktor musim dan asas yang lebih rendah pada Mei 2022 akibat cuti.

 

"Sementara itu, eksport minyak sawit berkemungkinan turun sebanyak 10.4% dari bulan ke bulan dan 14.2% tahun ke tahun kepada 1.2 juta tan, berdasarkan statistik eksport oleh juruukur kargo Intertek (-10.4%  bulan ke bulan), SGS (-7.4%) dan Amspec Malaysia (-13.4% bulan ke bulan).

 

"Eksport Malaysia yang lebih lemah disebabkan eksport minyak sawit yang lebih tinggi dari Indonesia selepas penarikan balik larangan eksportnya pada 23 Mei 2022 yang mengalihkan beberapa permintaan minyak sawit ke Indonesia dari Malaysia," katanya.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'neutral' dan Wilmar International dan Kula Lumpur Kepong Berhad sebagai pilihan utama di dalam sektor itu. - DagangNews.com