CGS-CIMB Research jangka IJM atasi unjuran kejayaan tempahan baharu sebanyak RM3 bilion bagi FY3/24 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka IJM atasi unjuran kejayaan tempahan baharu sebanyak RM3 bilion bagi FY3/24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - CGS-CIMB Research menjangkakan IJM Corporation Berhad mengatasi unjuran tempahan baharu sebanyak RM3 bilion bagi FY3/24 terutama selepas menerima maklumat jelas mengenai Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Kuantan.

 

Katanya, kumpulan itu mungkin mengatasi unjurannya jika kontrak utama seperti kontrak ECRL bernilai RM1 bilion bagi membina landasan ke Pelabuhan Kuantan, pakej di bawah MRT3 dan projek di Indonesia, India dan Malaysia Timur membuahkan hasil.

 

"Kami difahamkan daripada IJM bahawa landasan ECRL ke Pelabuhan Kuantan berada pada tahap lanjutan dan mungkin akan diberikan tidak lama lagi.

 

"Bagi MRT3 tempoh sah tender telah dilanjutkan kepada 31 Disember 2023," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi IJM Construction Sdn. Bhd. meraih kontrak bernilai RM1.1 bilion daripada Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd bagi sebahagian projek Sistem Transit Rapid Singapura-Johor Bahru (RTS Link).

 

Kontrak itu adalah bagi cadangan reka bentuk, pembinaan dan penyiapan Pakej 2A Kompleks Kastam dan Kuarantin Imigresen (ICQC) dan Pakej 2B kerja luar ICQC untuk RTS-Link.

 

Kontrak itu datang dengan jumlah sementara sebanyak RM155 juta yang melibatkan kerja yang belum dikenal pasti pada masa pemberian kontrak.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan jumlah kemenangan kontrak untuk projek ini pada asasnya ialah RM1.26 bilion dan projek itu dijadualkan siap pada Disember 2026.
 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga RM2.15 sesaham.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa cabaran termasuk kelembapan ekonomi yang berpanjangan yang boleh memberi kesan kepada semua bahagian, serta kos bahan mentah yang lebih tinggi yang boleh mengecilkan margin keuntungannya," katanya. - DagangNews.com