CGS-CIMB Research jangka kadar tempahan Sunway Construction cecah RM12 bilion menjelang akhir 2023 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka kadar tempahan Sunway Construction cecah RM12 bilion menjelang akhir 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan kadar tempahan Sunway Construction Group Berhad mampu mencecah RM12 bilion menjelang akhir 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perkara itu boleh dicapai dengan mengandaikan syarikat kerjasamanya dengan PECC2 Consortium berjaya mendapatkan projek loji janakuasa Vietnam bernilai AS$2.4 bilion dengan kepentingannya sebanyak 55% bernilai RM6 bilion.

 

"Kumpulan itu juga merupakan antara pilihan utama untuk mendapatkan untuk dua pakej kontraktor utama awam (CMC) bagi projek MRT3," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Sunway Construction untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2023 meningkat kepada RM33 juta berbanding RM32.3 juta yang direkodkan pada tahun lalu.

 

Hasil kumpulan juga bertambah kepada RM604.1 juta daripada RM557.89 juta tahun lalu.

 

Segmen pembinaan melaporkan hasil RM535.6 juta dan untung sebelum cukai RM39.1 juta berbanding hasil RM523 juta dan untung sebelum cukai RM41.1 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu adalah satu daripada 22 pemenang terbaharu Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC) pada 7 Ogos lalu.

 

Mereka juga akan menjadi kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) (anggaran saiz kontrak RM130 juta hingga RM150 juta) untuk projek CGPP, manakala akan ada peminjam sedia daripada syarikat Sunway Group.

 

Pada masa ini, ia juga mempunyai dua projek di bawah kitaran pembidaan solar berskala besar 4 (LSS 4) tetapi mungkin memohon untuk menjadi pemilik aset projek pada peringkat kemudian.

 

"Kami memahami bahawa  kadar pulangan dalaman kasar (IRR) projek untuk CGPP adalah lebih tinggi berbanding LSS 4.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM2.14 sesaham," katanya.- DagangNews.com