CGS-CIMB Research jangka Maxis kendali rangkaian 5G kedua negara | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka Maxis kendali rangkaian 5G kedua negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - CGS-CIMB Research mengekalkan pandangan bahawa Maxis Berhad dijangka mengendalikan rangkaian 5G kedua negara.

 

Katanya, seperti difahamkan, pengendali masih menilai semua pilihan dan masih belum ada sebarang kesimpulan dibuat mengenai struktur pemilikan.

 

Maxis sebelum ini sudah mengumumkan harga jalur lebar gentian pada 27 Oktober dan ia memberi gambaran jelas mengenai harga pasaran jalur lebar gentian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan harga yang hampir sama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM), mereka percaya bahawa kebimbangan mengenai peningkatan dalam saingan harga jalur lebar telah menurun.

 

"Dalam kes Maxis, mereka telah mengenakan yuran sendiri sebanyak RM11/bulan, walaupun rebat disediakan.

 

"Difahamkan bahawa pengendali mengenakan bayaran untuk akses rangkaian 5G kerana mereka perlu membayar Digital Nasional Berhad (DNB) untuk akses tersebut," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Rangkaian 5G Malaysia DNB kini bergolak kembali, pengendali `berperang' mahu mengawal rangkaian 5G kedua

 

Terdahulu, persaingan bagi menerajui rangkaian kedua melambatkan rancangan untuk mencapai lebih 90% liputan nasional untuk data mudah alih 5G memandangkan rangkaian DNB hanya hampir mencapai liputan 80% di kawasan berpenduduk di Malaysia.

 

Tumpuan pada rangkaian kedua tersebut telah menghentikan rundingan mengenai penyertaan ekuiti yang dipersetujui dalam DNB oleh CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Yes dan TM.

 

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perjanjian penjualan saham untuk DNB akan dimuktamadkan tidak lama lagi, keputusan masih belum dibuat.

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa sebaik sahaja struktur pemilikan untuk DNB dimuktamadkan, dan kos akses rangkaian 5G ini akan dihapuskan.

 

Dengan liputan rangkaian 5G pada 70.2% pada akhir September 2023 dan kadar penerimaan pada 7.4%, impak sebenar surcaj dan rebat terhadap pengendali adalah tidak ketara.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM4.26 sesaham," katanya. - DagangNews.com