CGS-CIMB Research jangka prospek MAHB positif bagi separuh kedua 2023 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka prospek MAHB positif bagi separuh kedua 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan prospek Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) positif untuk separuh kedua tahun ini.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu menaikkan unjuran trafik di Malaysia dan Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) untuk FY23 dan FY24 berdasarkan trend semasa serta jadual kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan.

 

Katanya, kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan antara China dan Malaysia pada pertengahan 2023 hanya 47% daripada paras yang setara 2019 tetapi meningkat kepada 56% pada akhir Ogos 2023 dan boleh meningkat lagi kepada 73% menjelang akhir Disember 2023.

 

"Kami percaya kedatangan semula pelancong China merupakan petanda baik untuk caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan pendapatan bebas cukai di dalam Malaysia walaupun mereka mungkin berbelanja kurang berbanding sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih MAHB bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) meningkat kepada RM102.53 juta berbanding kerugian bersih RM58.15 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Hasil meningkat 78.6% kepada RM1.23 bilion daripada RM689.76 juta sebelumnya, seiring dengan peningkatan jumlah penumpang, penyambungan semula perkhidmatan penerbangan dan ketersambungan, pembukaan semula sempadan China dan peningkatan kuota jemaah haji.

 

Hasil daripada operasi lapangan terbang meningkat 84.3%daripada RM626.8 juta kepada RM1,155.4 juta. Pendapatan segmen aeronautik meningkat daripada RM368.2 juta kepada RM696.7 juta berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, MAHB mengesahkan bahawa 85% lot komersial di lapangan terbangnya di Malaysia telah disewa pada akhir Jun 2023 tetapi hanya 64% yang benar-benar beroperasi dan 21% tidak dikenakan sewa walaupun secara teknikalnya lot mereka disewakan.

 

"Ia merupakan satu kehilangan pendapatan yang besar bagi MAHB tetapi berita baiknya ialah mereka menjangkakan semua kedai ini akan dibuka pada penghujung tahun ini," katanya.

 

CSG-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM7.19 sesaham. - DagangNews.com