KUALA LUMPUR 14 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan purata harga dagangan minyak sawit mentah (MSM) akan berada pada paras RM5,836 bagi setiap tan.
Unjuran itu adalah 32% lebih tinggi berbanding harga purata MSM pada 2021 iaitu RM4,407 untuk satu tan bagaimanapun harga itu adalah 22% lebih rendah daripada harga pada 10 Mac 2022 iaitu RM7,511.
Semasa Persidangan Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik Ke-33 yang berlangsung, minggu lalu, firma penyelidikan itu mendapati kebanyakan pakar positif terhadap prospek MSM ekoran bencana yang melanda pasaran minyak makan dunia.
Katanya, antara faktor yang menjadi pendorong kenaikan itu termasuk gangguan bekalan minyak bunga matahari akibat krisis Rusia-Ukraine, kemarau yang melanda Amerika Selatan yang menjejaskan penghasilan kacang soya dan kekurangan tenaga pekerja di Malaysia dalam sektor perladangan.
"Indonesia menetapkan agar pengeksport memperuntukkan 30% daripada hasil mereka untuk dijual kepada pasaran minyak masak tempatan berkuat kuasa 10 Mac lalu.
"Semua bersetuju bahawa bekalan minyak makan adalah terhad dan harga pasaran tidak akan berubah sehingga 2Q2022.
"Bagaimanapun sembila pakar di persidangan itu menjangkakan harga MSM akan didagangkan antara RM4,000 hingga RM9,427 pada FY2022F namun kami menetapkan purata jualan adalah sekitar RM5,836 bagi setiap tan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, terdapat beberapa faktor menjadi penentu harga dagangan untuk MSM bagi 2022F termasuk tempoh konflik antara Rusia dan Ukraine selain tempoh pelabuhan Laut Hitam kembali meneruskan eksport biji serta minyak bunga matahari.
Katanya, selain itu polisi yang ditetapkan Indonesia juga memainkan peranan penting penting dalam menentukan harga selain fator cuaca di Amerika Utara dan Kanada, keputusan peladang untuk meneruskan penanaman dan kadar kecairan serta perkembangan ekonomi.
"Perubahan polisi kerajaan terhadap duti import dan cukai eksport selain mandat terhadap biodisel yang akan memberi kesan kepada minyak makan.
"Produk huluan minyak sawit yang menjual MSM akan mendapat manfaat daripada kenaikan harga itu dan pengeluar sawit dengan ladang di Malaysia tidak akan terkesan dengan peraturan yang ditetapkan Indonesia," katanya. - DagangNews.com