CGS-CIMB Research jangka untung bersih AmBank Group melonjak antara RM400 juta hingga RM420 juta pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka untung bersih AmBank Group melonjak antara RM400 juta hingga RM420 juta pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan untung bersih AMMB Holdings Berhad (AmBank Group) melonjak antara RM400 juta hingga RM420 jutabagi 2QFY24 mewakili perningkatan antara 6% hingga 11% dari suku tahun ke suku tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu berdasarkan peningkatan dalam pendapatan faedah bersih berikutan pengembangan pinjaman yang berterusan dan margin faedah bersih yang stabil selain potensi penurunan peruntukan kerugian pinjaman (LLP) bagi suku berikutnya.

 

"Bagaimanapun, anggaran keuntungan bersih 2QFY24 kami adalah 4% hingga 8% lebih rendah daripada RM435.4 juta yang dicatatkan dalam 2QFY23," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih 1QFY24 AmBank merosot sebanyak 7.8% dari tahun ke tahun kesan lonjakan 176.4% untuk LLP.

 

LLP yang lebih tinggi dan kenaikan 8.3% dalam kos 1QFY24 lebih daripada mengimbangi pertumbuhan kukuh 9.6% dalam hasil.

 

BACA JUGA: Untung bersih AmBank Group susut kepada RM378.4 juta bagi 1QFY24

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan bukan faedah 1QFY24 AmBank meningkat sebanyak 30%.

 

Katanya, walaupun ia didorong oleh kenaikan dalam pendapatan pelaburan sebanyak 82.1%, mereka mengambil perhatian bahawa pendapatan yurannya meningkat 11.7% pada 1QFY24 terutama yuran pengurusan portfolio, yuran nasihat korporat dan komisen bankasurans.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM4.39 sesaham," katanya.

 

Katanya, AmBank berdepan potensi risiko kemerosotan termasuk kemerosotan dalam pertumbuhan pinjaman serta kualiti aset.

 

Firma itu juga mengekalkan unjuran pendapatan sesaham bagi FY24 hingga FY25 dengan TP RM4.39. - DagangNews.com