KUALA LUMPUR 25 Ogos - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' untuk saham Genting Plantations Berhad pada harga sasaran (TP) lebih rendah RM7.06 sesaham dengan jangkaan pendapatan lebih lemah pada 2HFY22.
Firma itu juga mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan itu untuk segmen perladangan selain mengurangkan penilaian bank tanahnya.
Firma itu juga menjangkakan pengeluaran bagi 2HFY22 meningkat antara 26% hingga 28% lebih tinggi berbanding 1HFY22 dan kumpulan itu pengeluarannya untuk MSM pada 2022 pada RM2,100-2,300 bagi setiap tan.
"Kumpulan itu juga menjangkakan buah tandan segar (FFB) daripada ladang di Indonesia bertambah baik pada 2HFY22.
"Kami menyukai ladang muda di Indonesia tetapi masih belum melihat sebarang peningkatan hasil dalam beberapa tahun kebelakangan ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih Genting Plantations untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2022 meningkat lebih dua kali ganda kepada RM223.43 juta berbanding RM104.63 juta pada suku sama tahun lalu.
Hasil suku tahunan juga meningkat sebanyak 32.36% kepada RM1.05 bilion berbanding RM790.11 juta.
Firma itu berkata, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) perladangan meningkat sebanyak 59% dari tahun ke tahun kepada RM369 juta pada 2QFY22 didorong harga produk tinggi yang diraih ladang di Indonesia dan Malaysia
"Purata kos pengeluaran pada 2QHFY2/1HFY22 meningkat 30%/17% dari tahun ke tahun kepada RM2,290/RM2,190/tan disebabkan peningkatan kos baja, buruh dan pengangkutan.
"Antara perkara positif lain pada 2QFY22 adalah peningkatan berturut-turut dalam industri hilirannya kesan daripada peningkatan keuntungan RM3.7 juta 1QFY22 kepada RM24 juta pada 2QFY22 disumbang margin penapisan yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com