KUALA LUMPUR 25 Ogos - CGS-CIMB Research mengunjurkan UEM Sunrise Berhad berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran jualan hartanah baharu bagi FY22.
Firma itu berkata, kumpulan itu juga merancang untuk melancarkan projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM3.3 bilion pada FY22 dengan majoritinya merangkumi hartanah mampu milik.
Katanya, terdapat tiga projek yang akan dilancarkan pada 2HFY22 iaitu KAIA Heights Fasa 2, Collingwood di Melbourne dan MK31 di Mont’ Kiara dengan anggaran GDV RM2 bilion hingga RM2.6 bilion.
"Kumpulan itu akan berusaha untuk melaukan penyelesaian penuh baki inventori di Aurora Melbourne Central dan Conservatory menjelang akhir 22022 (jualan belum direkodkan sebanyak RM75.6 juta shingga Jun 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu meraih keuntungan RM20.7 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) dengan hasil lebih tinggi dan margin keuntungan operasi yang lebih baik.
Keputusan itu lebih baik berbanding kerugian bersih sebanyak RM7.37 juta pada 2QFY21 kesan daripada sumbangan yang rendah daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu.
Dalam 2QFY22, margin keuntungan operasinya meningkat dengan ketara kepada 16% berbanding suku tahun sebelumnya iaitu 6%.
Hasil kumpulan juga meningkat 46.5% kepada RM365 juta daripada RM249.14 juta pada 2QFY21, terutamanya disebabkan oleh penjualan tanah bukan strategik di Mersing dan Iskandar Puteri.
Firma itu berkata, mereka menyukai kumpulan itu kerana operasi perniagaan terasnya dijangka teguh berdasarkan pemulihan ekonomi semasa dan penglibatan jenama utama yang memastikan pertumbuhan keuntungan yang mampan seperti BMW dan Caterpillar.
"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 40 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com