CGS-CIMB saran ‘kurangkan’ saham Sapura Energy | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran ‘kurangkan’ saham Sapura Energy

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - CGS-CIMB Research menyarankan untuk ‘kurangkan’ saham syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Berhad (Sapura Energy) dengan harga sasaran (TP), RM0.06.

Dalam masa sama, CGS-CIMB turut mempersoalkan sekiranya margin kejuruteraan dan pembinaan (E&C) syarikat itu dapat dikekalkan selepas mencatatkan keuntungan lebih baik pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21).

“Kerugian bersih Sapura Energy pada 2QFY21 menurun sebanyak 99% berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong perubahan keuntungan perniagaan E&C.

“Keuntungan E&C sebelum cukai pada 2QFY21 sebanyak RM218 juta lebih tinggi berbanding keuntungan sebelum cukai pada suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21) sebanyak RM124 juta dan perbezaan besar berbanding kerugian sebelum cukai pada suku keempat tahun kewangan 2020 (4QFY20) sebanyak RM755 juta. 

“Sapura Energy terus menekankan bahawa perubahan perolehan itu akan kekal dibantu pengoptimuman pelaksanaan projek dan proses perolehan, potongan gaji, penambahbaikan produktiviti dan inisiatif penjimatan kos lain,” jelas analisis CGS-CIMB. 

Sebelum ini, margin sebelum cukai dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) E&C tidak menentu.

Kata CGS-CIMB, dengan kerumitan dalam sekitar jangka masa pelaksanaan projek, penentuan kos projek dan anggaran kerosakan yang dapat dipastikan (LAD) serta pesanan pelbagai (VO), di mana Sapura Energy hanya dapat memberikan petunjuk yang tidak tepat, terdapat risiko terhadap prestasi E&C pada masa akan datang. 

“Kami tidak yakin perubahan keuntungan dapat diulang dengan berkala, oleh itu jangkaan margin EBITDA E&C sebanyak 24% bagi 2QFY21 tidak sepatutnya terguna pakai sehingga setahun,” tambah CGS-CIMB.

Sementara itu, tender pelantar Sapura Energy terus menyaksikan kadar penggunaan yang rendah dan dijangka hanya mewakili 35% pada tahun kewangan 2021 dan 45% pada tahun kewangan 2022. 

Pengiraan untung atau rugi bersih teras kami menolak dividen RCPS-i 5% dan bertambah sebanyak 5% dividen RCPS-i dengan tanggapan ia akan ditebus oleh Sapura Energy pada 10% hasil hingga matang,” jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com