CGS-CIMB saran ‘pegang’ saham syarikat tenaga Cypark Resources | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran ‘pegang’ saham syarikat tenaga Cypark Resources

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - CGS-CIMB Research menyarankan untuk ‘pegang’ saham syarikat pemain industri tenaga boleh diperbaharui, Cypark Resources Berhad (Cypark Resources) dengan harga sasaran RM1.

Saranan itu dibuat berdasarkan jangkaan perolehan yang lemah bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 selain penangguhan tarikh operasi komersial (COD) loji tenaga buangan (WTE) di Negeri Sembilan dan potensi penjualan aset atau tuntutan tunai untuk membiayai projek. 

“Kami menurunkan jangkaan perolehan sesaham bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 sebanyak 5% hingga 9% selepas mengambil kira kelewatan operasi WTE, pelaksanaan atau buku tempahan perlahan bagi unit kejuruteraan alam sekitar (EE) dan pangkalan saham yang diperbesar daripada opsyen saham,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

Loji WTE di Negeri Sembilan telah lengkap sepenuhnya tetapi sedang menunggu kelulusan untuk menjalankan ujian pentauliahan. 

Menurut CGS-CIMB, juruteknik vendor dari negara luar syarikat itu masih tidak dibenarkan memasuki Malaysia untuk melakukan ujian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Loji itu dijangka hanya dapat memperoleh tarikh mula beroperasi (IOD) dan COD, selepas ujian pentauliahan mungkin pada tahun kewangan 2021, daripada sasaran awal COD pada penghujung Jun 2019. 

Hasil suku ketiga tahun kewangan 2020 (3Q20) Cypark Resources merudum 36% kepada RM55.69 juta diheret oleh unit EE dan cabang infrastruktur dan landskap selepas aktiviti digantung sepenuhnya bermula 18 Mac hingga Jun 2020. 

Keuntungan bersih syarikat itu pula jatuh 19.49% kepada RM16.15 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, RM20.06 juta. 

“Hasil 3Q20 dan perolehan utama masing-masing menurun sebanyak 26% dan 13% disebabkan punca sama. 

“Cypark Resources berkata pihaknya akan cuba mengejar kemajuan kerja di beberapa kawasan projek pada suku keempat tahun ini,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com