GEORGETOWN 15 Nov - Lotus Cars Malaysia membuka cawangan ketiganya di Georgetown, Pulau Pinang Malaysia dan yang pertama di luar Kuala Lumpur untuk mengukuhkan lagi kehadiran jenama tersebut sejak beroperasi di negara ini kira-kira 28 tahun lalu.
Selain cawangan di Pavilion Damansara Heights dan Glenmarie Kuala Lumpur, pelanggan kini boleh berkunjung ke Lotus Pulau Pinang, yang terletak di tengah-tengah kawasan perniagaan komersial.
Ruang pameran yang strategik itu, menampilkan dua model Lotus dan menawarkan akses mudah kepada pelanggan baharu dan sedia ada di kawasan utara.
Pengarah Eksekutif Lotus Cars Malaysia, Mohamed Reza bin Abdul Mutalib berkata, Pulau Pinang adalah lokasi yang sangat penting dan strategik bagi Lotus Cars Malaysia, dan pihaknya berbangga untuk memperkenalkan kemudahan itu yang telah beroperasi sepenuhnya.
Presiden & CEO Lotus Cars Eropah, Asia Pasifik, Asia Barat dan Afrika, Dan Balmer berkata, beliau teruja dengan pelancaran cawangan Lotus terbaharu di Malaysia itu.
"Kami menantikan kedatangan pemilik Lotus dari seluruh Malaysia untuk merasai keseluruhan rangkaian kenderaan Lotus di rumah baharu yang istimewa ini di Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua model Lotus kini ditawarkan di Malaysia iaitu SUV elektrik berprestasi agresif Eletre, Eletre S dan Eletre R; Hyper-GT elektrik sepenuhnya Emeya, Emeya S dan Emeya R; serta kereta sukan enjin tengah ikonik dan terkemuka, Emira First Edition, First Edition V6, Emira Turbo dan Emira Turbo SE.
Sebagai meraikan acara bersejarah itu, pelanggan Lotus Emira baharu akan diberikan pengalaman Lotus Factory di Hethel, United Kingdom.
Trip eksklusif itu yang dijadualkan pada April dan Oktober 2025, menawarkan lawatan ke kilang Lotus Emira, bersama peluang untuk memandu Emira di trek ujian Lotus yang ikonik.
Pelanggan juga akan menikmati makan malam dan penginapan mewah sebagai sebahagian daripada pengalaman tersebut.
Lotus Cars Malaysia juga menawarkan pelan pembayaran terhad untuk Lotus Eletre dengan ansuran bulanan bermula daripada RM6,388. - DagangNews.com