KUALA LUMPUR 15 Nov - TGV Cinemas menetapkan penanda aras baharu dalam landskap hiburan Malaysia, melalui kerjasama strategik dengan Coway BEREX bagi memperkenalkan julung-julung kalinya pawagam katil yang dilengkapi dengan tilam pintar.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) rasmi yang menandakan permulaan kolaborasi inovatif itu diadakan di TGV Suria KLCC yang baru dibuka pada Khamis.
Pawagam katil INDULGE Coway BEREX menggabungkan kemewahan, keselesaan dan teknologi canggih untuk memberikan pengalaman menonton wayang.
Inovasi tersebut adalah yang pertama buat TGV, membawakan teknologi tilam pintar ke dalam ruang sinematik dengan tumpuan kepada keselesaan penonton.
Selain itu, sistem bunyi ATMOS dan projektor laser turut menawarkan pengalaman pawagam yang premium, menjadikan TGV sebagai pilihan utama penonton wayang yang mahukan keselesaan dan inovasi luar biasa.
Pawagam katil tersebut dilengkapi dengan tilam pintar Coway BEREX, yang membolehkan penonton melaras tetapan ketegangan dan postur tilam mengikut tahap keselesaan mereka.
Ia turut menawarkan fungsi kelegaan dan regangan otot, fungsi urutan pintar, menggabungkan teknologi daripada kerusi urut Coway yang memberikan dimensi terapeutik tambahan terhadap pengalaman menonton wayang.
Setiap katil dilengkapi dengan sandaran belakang ergonomik, meja putar, kemudahan pengecasan mudah alih, ruang simpanan peribadi, selimut yang selesa dan panel privasi yang memisahkan katil untuk memberikan pengalaman yang selesa dan mendalam kepada pelanggan.
Kombinasi keselesaan yang boleh disesuaikan dan teknologi berfokuskan kesihatan itu membawakan tahap inovasi dan kemewahan baharu kepada pengalaman sinematik.
Buat permulaan, pawagam terbabit kini mempunyai 17 tempat tidur dan akan mengadakan sekurang-kurangnya empat tayangan setiap hari.
Ketua Pegawai Eksekutif TGV Cinemas, Tan Lay Han berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Coway BEREX untuk membawakan pengalaman pawagam katil yang unik itu.
"Coway BEREX adalah sebuah jenama yang terkenal dengan komitmennya terhadap kesejahteraan rumah dan produknya yang berkualiti tinggi.
"Kerjasama ini merupakan satu lagi pencapaian penting bagi kami untuk terus berinovasi di pawagam kami dan dalam komitmen kami untuk membina pengalaman pawagam terbaik untuk pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Bahagian Pemasaran dan Produk Coway Malaysia, Ryan Jung berkata, pihaknya tidak sabar memberikan penonton pengalaman mengujakan.
"Kami amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan TGV Cinemas bagi melancarkan pengalaman pawagam katil unik yang menampilkan Coway BEREX Tilam Pintar di Malaysia.
"Dengan komitmen yang sama untuk meningkatkan pengalaman gaya hidup, kami menetapkan satu penanda aras baharu untuk keselesaan dan hiburan. Kerjasama ini menandakan langkah penting dalam usaha kami mengembangkan komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan bukan hanya di rumah, tetapi juga dengan membawakan keselesaan dan ketenangan terbaik ke dalam persekitaran baharu," ujarnya.
Penonton boleh menikmati pengalaman tersebut pada harga kompetitif RM120 setiap tiket, termasuk makanan, minuman dan pencuci mulut yang memastikan pengalaman serba mewah yang padat dengan nilai.
Susulan pelancaran di Suria KLCC, pawagam katil inovatif serupa akan diperluaskan ke semua lokasi INDULGE, termasuk TGV Pavilion Bukit Jalil, TGV Sunway Velocity dan TGV 1 Utama. - DagangNews.com