CGS-CIMB Securities raih 68 anugerah menerusi Tinjauan Broker Asiamoney 2023 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Securities raih 68 anugerah menerusi Tinjauan Broker Asiamoney 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Dis - CGS-CIMB Securities raih 68 anugerah bagi Tinjauan Broker Asiamoney 2023 dengan 45 daripadanya menyaksikan firma itu meraih kedudukan pertama.

 

Firma penyelidikan itu juga berada dalam senarai lima broker teratas bagi ekuti Asia pada tahun ini.

 

Bagi kategori serantau, CGS-CIMB Securities memperoleh pertama untuk Pembrokeran Serantau Terbaik bagi Dagangan dan Pelaksanaan Jualan, dan ketiga untuk Transformasi Pembrokeran Terbaik.

 

Anugerah itu merupakan pengiktirafan terhadap perkhidmatan jualan dan keupayaan CGS-CIMB Securities, serta usaha transformasinya dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya.

 

"Walaupun keadaan mencabar dalam pasaran global, CGS-CIMB Securities mengekalkan tahap perkhidmatan yang luar biasa kepada pelanggannya sambil mempercepatkan proses transformasi perniagaannya untuk menjadi penyedia perkhidmatan kewangan terkemuka di Asia.

 

"Kekuatannya dalam jualan dan pelaksanaan telah merangkul tempat pertama di Singapura, Malaysia dan Thailand, dan kedua di Indonesia dalam kategori Perdagangan Jualan dan Pelaksanaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CGS-CIMB Securities, Carol Fong berkata, pihaknya kekal komited dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan sekuriti mereka.

 

Beliau turut berterima kasih kepada Asiamoney dan pengundi yang telah memberikan pengiktirafan melalui undian.

 

"Anugerah itu juga mengesahkan kecemerlangan kami dalam penyelidikan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), CGS-CIMB Securities adalah antara broker Asia pertama menggunakan metrik ESG ke dalam laporan penyelidikannya," katanya. - DagangNews.com