CGS-CIMB semak turun penarafan saham Wellcall kepada 'pegang' dengan TP RM1.36 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB semak turun penarafan saham Wellcall kepada 'pegang' dengan TP RM1.36

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Feb - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan saham Wellcall Holdings Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'tambah' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) kekal pada RM1.36.

 

"Walaupun kami menyukai saham syarikat ini berikutan asasnya yang kukuh dan permintaan produknya berdaya tahan, tetapi penilaian semasa sudah banyak mengambil kira faktor positif," menurut penganalisisnya, Walter Aw dalam nota kajian hari ini. 

 

Syarikat pengeluar gegelung getah terbesar di Malaysia ini merekodkan pendapatan sebanyak RM39.7 juta bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM35.52 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala keuntungan bersih susut kepada RM6.95 juta juta daripada RM8.23 juta.

 

Berbanding suku ke suku, pendapatannya susut 16.5% daripada suku keempat 2021 terutamanya disebabkan terutamanya oleh penjadualan semula penghantaran seperti yang dikehendaki oleh pelanggan akibat daripada kos pengangkutan yang tinggi.

 

Bagaimanapun, Aw berkata, prestasi kewangan kumpulan bagi tempoh suku pertama itu adalah memenuhi ramalannya dan menjangkakan Wellcall akan merekodkan prestasi kewangan yang lebih baik dalam tempoh 9 bulan akan datang.

 

Katanya, ia didorong langkah kumpulan untuk menangani kenaikan harga input yang lebih tinggi menerusi peningkatan harga jualan secara berperingkat dan kawalan kos secara menyeluruh yang lebih baik.

 

"Dari segi jualan, kami percaya permintaan untuk produk Wellcall adalah berdaya tahan dan digunakan secara meluas dalam pelbagai industri di seluruh dunia," jelasnya.

 

Menurutnya, setakat akhir suku pertama itu, Wellcall juga mempunyai kedudukan tunai bersih yang kukuh berjumlah RM45.4 juta (9.2 sen sesaham).

 

"Tanpa perbelanjaan modal (capex) utama yang dirancang, kami berpendapat, kedudukan tunai bersih ini akan menyokong unjuran semasa 75% bayaran dividen bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 (hasil dividen 4.4 hingga 5.4%)," katanya.

 

Setakat 11.25 pagi ini, harga saham Wellcall susut 14 sen atau 10.45% kepada RM1.20 dengan 3.67 juta saham diniagakan. - DagangNews.com