Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Nov - CGS-CIMB menyemak turun pendapatan sesaham (EPS) Sime Darby Bhd. bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 antara 5 hingga 12% ekoran perbelanjaan cukai yang tinggi.
Ini termasuklah pelaksanaan Cukai Makmur dan cukai pendapatan daripada sumber pendapatan asing seperti diumumkan kerajaan pada Bajet 2022.
Penganalisisnya, Mohd. Shanaz Noor Azam menjangkakan impak minimum daripada cukai bagi EPS kumpulan untuk FY22 memandangkan terdapat tempoh peralihan sehingga Jun 2022 bagi syarikat menghantar sumber pendapatan asing ke Malaysia.
"Dengan mengambil kira faktor ini, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Sime Darby tetapi menyemak semula harga sasaran lebih rendah kepada RM2.55 berbanding RM2.95 memandangkan kami melancarkan penilaian kepada akhir 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Operasi di China jejaskan untung bersih Sime Darby, susut 16% pada Q1
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Sime Darby merekodkan untung bersih yang lebih rendah bagi suku pertama berakhir 30 September 2021, susut 16% kepada RM236 juta daripada RM281 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Penurunan ini disebabkan operasi perindustrian di China menyerap impak daripada aktiviti perniagaan yang perlahan pada suku berkenaan.
Malah, pendapatan bagi tempoh itu juga susut 1.9% kepada RM10.67 bilion berbanding RM10.88 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Mohd. Shanaz berkata, bahagian permotoran Sime Darby dijangka mencatat peningkatan jumlah jualan mulai suku kedua ini dan seterusnya dipacu permintaan kukuh bagi segmen mewah di China dan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilanjutkan sehingga Jun tahun hadapan.
"Malah, kami juga menjangkakan kumpulan akan meraih manfaat daripada langkah kerajaan mengecualikan duti import, duti eksais dan cukai pengangkutan serta jualan bagi kenderaan elektrik di bawah Bajet 2022 memandangkan ia membawa jenama EV yang paling premium.
"Kami mendapati kumpulan akan melancarkan BMW iX, i4 serba elektrik dan Hyundai Kona dalam suku pertama 2022," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan pendapatan daripada bahagian perindustrian akan kembali pulih pada separuh kedua 2022 berikutan tambahan pesanan daripada pasaran China dan buku pesanan yang kukuh di tengah-tengah kenaikan harga arang batu, meningkat hampir 3 kali ganda setakat ini.
Setakat 9.14 pagi ini, harga saham Sime Darby diniagakan tidak berubah pada RM2.20. - DagangNews.com