CGS-CIMB tukar saranan ‘kurangkan’ saham Oceancash Pacific kepada ‘pegang’ | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB tukar saranan ‘kurangkan’ saham Oceancash Pacific kepada ‘pegang’

Oceancash Pacific Berhad

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) menurunkan penarafan saham syarikat pengeluar fabrik bukan tenunan, Oceancash Pacific Berhad (Oceancash Pacific) daripada ‘kurangkan’ kepada ‘pegang’.

Saranan itu dibuat berdasarkan tawaran persendirian (private placement) saham oleh syarikat berkenaan di mana hasilnya digunakan bagi tujuan pembelian mesin fabrik bukan tenunan dan keuntungan dijangka diraih pada tahun kewangan 2022. 

Tawaran persendirian merupakan proses penjualan saham kepada pelabur terpilih berbanding dijual dalam pasaran terbuka. 

“Kami mengekalkan saranan ini sehingga tawaran persendirian itu selesai. Berdasarkan ramalan perolehan syarikat pada tahun kewangan 2021 hingga 2022 ( dinaikkan sebanyak 37.3% hingga 59.7%), kami sarankan ‘pegang’ daripada ‘kurangkan’.

“Harga sasaran pula dinaikkan kepada RM0.79 daripada RM0.48,” jelas analisis CGS-CIMB.

Semalam, Oceancash Pacific mengumumkan penjualan saham sebanyak 24.5 juta atau 10% daripada jumlah saham yang dikeluarkan kepada Macquarie Bank Limited (Macquarie).

Saham itu bernilai pada harga yang setara dengan diskaun 10% kepada lima hari purata harga pasaran (VWAP), tepat sebelum tarikh Macquarie menghantar notis langganan kepada Oceancash Pacific. 

“Berdasarkan anggaran hasil penjualan penuh saham itu pada RM0.87 sesaham, kumpulan syarikat dijangka memperoleh sehingga RM21.2 juta,” tambah CGS-CIMB.

Sebilangan besar hasil itu diperuntukkan untuk pembelian mesin bukan tenunan yang berpotensi menggandakan kapasiti produknya kepada 16,000 tan setahun.

Peralatan baharu itu akan mengembangkan penawaran produk bukan tenunan yang dapat digunakan untuk pengeluaran peralatan pelindung diri (PPE) dan topeng muka, yang kini mendapat permintaan tinggi susulan pandemik COVID-19.

Jumlah kos projek itu dijangka menelan sehingga RM40 juta termasuk pembelian tanah dan mesin lain yang dibiayai menerusi gabungan dana penjualan saham berkenaan, dana dalaman dan pinjaman bank. 

Projek itu dijangka selesai dalam tempoh 18 bulan. - DagangNews.com