CGS-CIMB turunkan jangkaan rugi FY20 Genting  | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB turunkan jangkaan rugi FY20 Genting 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - CGS-CIMB Research merendahkan jangkaan kerugian ke atas Genting Berhad bagi tahun kewangan 2020 (FY20) kepada RM290 juta. 

 

Dalam masa sama, ramalan perolehan sesaham (EPS) bagi FY21 hingga FY22 turut dinaikkan selepas CGS-CIMB meningkatkan penarafan kerugian bersih utama Genting Singapore, Genting Malaysia dan Genting Plantations. 

 

“Kerugian bersih FY20 Genting akan didorong oleh perolehan Genting Malaysia dan Genting Singapore yang lemah, sebelum melonjak semula mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.1 bilion pada FY21 dan meningkat 45% pada FY22.

 

“Kami masih mengekalkan ramalan 12.5 sen dividen sesaham pada FY20 dan FY21, dengan 6 sen pada dividen sesaham akhir sebelum berubah ke 22 sen pada FY22 (mencapai paras sebelum COVID-19),” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.  

 

Pada suku ketiga 2020 (3Q20), keuntungan bersih Genting merosot sehingga 51.5% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM215 juta (2Q20: -RM715 juta). 

 

Ini terutamanya didorong oleh kerugian Genting Malaysia dan perolehan lemah Genting Singapore. 

 

Bagaimanapun, keuntungan yang dicatatkan oleh Genting Plantations telah menyelamatkan Genting daripada mencatatkan kerugian lebih besar. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Genting dengan sasaran harga (TP) dinaikkan sebanyak 12% kepada RM6.40 kerana penilaian lebih baik ke atas Genting Singapore, Genting Malaysia dan Genting Plantations. 

 

Sementara itu, dalam nota kajian berbeza, CGS-CIMB turut menyarankan untuk ‘tambah’ saham Genting Malaysia dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM2.95. 

 

“Kami meningkatkan kerugian bersih Genting Malaysia pada FY20 kepada RM1.3 bilion bagi menggambarkan jangkaan prestasi lebih lemah pada 4Q20, tetapi meningkatkan perolehan sesaham FY21 dan FY22 masing-masing sebanyak 3% dan 6% memandangkan kami mengambil kira perbelanjaan operasi lebih rendah. 

 

“Kami menjangkakan keuntungan bersih Genting Malaysia FY21 memulih kepada RM563 juta, dua kali ganda lonjakan menjelang FY22 memandangkan para pelancong akan kembali apabila Genting SkyWorld dibuka semula pada pertengahan 2021,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com