KUALA LUMPUR 19 Ogos - CGS-CIMB Research mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dengan pilihan utamanya bagi sektor itu ialah SKP Resources Bhd. dan VS Industry Bhd.
Menurut penganalisisnya, Nagulan Ravi, risiko kelembapan permintaan akhir untuk elektronik pengguna adalah jelas, tetapi ia sebahagian besarnya diimbangi dengan lencongan pembuatan daripada pemilik pengeluaran produk tulen (OEM)/jenama yang ingin mempelbagaikan rantaian bekalan mereka ke rantau Asia Tenggara.
Katanya, ia berlaku selepas ketegangan geopolitik yang bergelora sejak beberapa tahun kebelakangan ini bermula dengan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China pada 2018.
"Dalam hal ini, VS Industry dan SKP adalah penerima utama penyaluran semula pesanan, selepas penamatan kontrak salah satu rakan setara mereka yang sebelum ini merupakan pelanggan utama.
"Antara kejutan utama kepada kami ialah betapa pantasnya kekurangan komponen mereda, terutamanya semikonduktor, yang pada mulanya kami ramalkan akan berlarutan hingga ke suku pertama 2023, justeru kami menaikkan potensi peningkatan pendapatan untuk SKP dan VS Industry.
"Perkara tersebut yang membawa kepada kadar penggunaan yang lebih tinggi di kedua-dua kilang syarikat, ditambah pula dengan SKP yang semakin menambah sumber operasi pemasangan papan litar bercetak (PCBA) (yang akan membawa kepada peningkatan dalam margin operasi), merupakan pemacu pertumbuhan utama bagi sektor ini pada separuh kedua 2022 dan 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu baru-baru ini menganjurkan lawatan pelabur ke kilang EMS syarikat di bawah liputannya, SKP dan VS Industry yang berpangkalan di Johor.
Hasil lawatan itu, CGS-CIMB mengekalkan pandangan positifnya terhadap sektor EMS di Malaysia.
Nagulan berkata, pelan pengambilan pekerja asing pemain EMS kini berada dalam landasan yang betul dengan menyaksikan SKP dan VS Industry masing-masing akan mengambil 1,100 dan 1,300 pekerja dalam tenaga kerja mereka menjelang akhir Ogos hingga September 2022.
Mengenai risiko pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), terutamanya risiko sosial, didapati kedua-dua syarikat berkenaan telah menyelesaikan audit pematuhan sosial yang menunjukkan mereka sudah membayar balik sepenuhnya semua yuran pengambilan yang dibayar oleh pekerja asing mereka pada masa lalu.
Malah, SKP dan VS Industry juga berada di landasan yang betul untuk menangani atau telah pun menangani semua isu kecil lain yang boleh diperbaiki.
"Ini harus menjadi jaminan untuk pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan mereka, serta komuniti pelabur, berkaitan pematuhan mereka kepada amalan buruh yang beretika," jelasnya.
Empat faktor mendorong CGS-CIMB yang mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor itu terutamanya kekurangan komponen (terutama cip semikonduktor) dan masalah tenaga kerja semakin mereda serta permintaan yang lebih baik daripada jangkaan daripada pelanggan utama SKP dan VS Industry di samping risiko ESG yang agak rendah selepas audit dijalankan.
"SKP menjadi pilihan utama sektor ini dalam tempoh terdekat setelah mengambil kira prospek aliran kontrak yang kukuh, kecekapan operasi dan kadar penggunaan yang lebih tinggi.
"VS Industry pula kekal sebagai pilihan jangka panjang kami terutama disebabkan kepelbagaian pelanggannya dan ia merupakan penerima manfaat utama dan terbukti membuat lencongan daripada pemilik OEM/jenama," katanya.
Firma itu mengulangi saranan 'tambah' terhadap VS Industry dan SKP dengan harga sasaran masing-masing pada RM1.21 dan RM1.89. - DagangNews.com