CGS-CIMB unjur keuntungan bersih F&N akan meningkat 8% bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur keuntungan bersih F&N akan meningkat 8% bagi FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Nov - CGS-CIMB Research menjangkakan untung bersih Fraser and Neave Holdings Bhd. (F&N) meningkat sebanyak 8% bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023 (FY23) terutamanya didorong jualan yang lebih tinggi daripada segmen hotel, restoran dan cafe (HORECA). 

 

Prestasi kumpulan juga akan dipacu oleh peningkatan pelancong di Thailand dan Malaysia dengan pembukaan semula sempadan dan kenaikan harga di dalam negara dan juga pasaran eksport.

 

Menurut firma itu, sejak suku keempat FY22, harga komoditi utama tertentu seperti susu dan minyak sawit menunjukkan trend menurun, yang memberi petanda baik untuk F&N dari sudut margin.

 

"Selain itu, baru-baru ini, kumpulan juga telah melengkapkan pengambilalihan baki 72.4% kepentingan dalam Cocoaland Holdings Bhd. yang tidak dimilikinya, yang kami anggarkan kos pengambilalihannya berjumlah RM488 juta.

 

"Dengan mengandaikan pengambilalihan ini dibiayai sepenuhnya oleh hutang, F&N akan mempunyai penggearan bersih sebanyak 0.1x (tunai bersih RM319 juta pada 30 September 2022). 

 

"Kami menganggarkan pemerolehan ini akan meningkatkan pendapatan sesaham (EPS) bagi 2023-2024 sebanyak 0.7% hingga 2%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, keuntungan bersih F&N susut kepada RM383.21 juta bagi FY22 daripada RM395.16 juta yang dicatatkan pada FY21.

 

Pendapatan, bagaimanapun, meningkat 8.2% kepada RM4.47 bilion daripada RM4.13 bilion sebelumnya disokong oleh permintaan domestik yang kukuh di Malaysia dan Thailand, strategi pelarasan harga dan sumbangan tahun penuh pertama daripada perniagaan makanannya.

 

CGS-CIMB menyifatkan keuntungan bersih teras bagi tempoh FY22 sebanyak RM402.1 juta adalah menenuhi jangkaannya terutamanya disebabkan jualan yang lebih kukuh daripada jangkaan di sebalik kenaikan harga secara berterusan.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengulangi saranan 'tambah' terhadap F&N dengan harga sasaran disemak lebih rendah kepada RM23.70 daripada RM25 sesaham sebelum ini. 

 

Setakat 11.28 pagi ini, harga sahamnya menokok 20 sen atau 1% kepada RM20.14 dengan 111,400 saham diniagakan. - DagangNews.com